Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran
Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran
Meminjam petikan daripada filem Laskar Pelangi, “Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya”, kata-kata ini menjadi pegangan dan motivasi utama saya dalam dunia pendidikan tinggi. Bagi saya, menjadi seorang pensyarah bukan sekadar satu profesion, tetapi satu amanah dan peluang untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dengan para pelajar. Saya percaya bahawa setiap ilmu yang dicurahkan bukan sahaja dapat membentuk kefahaman dan kompetensi pelajar dalam bidang mereka tetapi juga memberi impak berpanjangan dalam kehidupan mereka. Keyakinan ini sejajar dengan moto Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), “Ilmu demi faedah insan” yang menjadi pemangkin untuk saya terus memperbaiki mutu pengajaran agar ia benar-benar memberi manfaat kepada pelajar serta menjadi saham akhirat buat saya.
Kepercayaan dan Nilai dalam Pengajaran
Saya percaya bahawa pendidikan harus berasaskan pembelajaran aktif dan bermakna. Oleh itu, saya berusaha untuk menjadikan kelas saya sebagai ruang di mana pelajar bukan sahaja menerima ilmu tetapi juga terlibat secara aktif dalam membentuk pemahaman mereka sendiri. Saya menekankan pembelajaran yang interaktif, reflektif, dan berpusatkan pelajar (student-centred) agar mereka dapat mengembangkan kemahiran berfikir aras tinggi, menyelesaikan masalah, dan membuat keputusan berdasarkan bukti (evidence-based).
Teori dan Model yang Mendasari Falsafah Pengajaran
Falsafah pengajaran saya berakar umbi dari teori Konstruktivisme, yang menekankan bahawa pelajar membina pemahaman mereka sendiri melalui pengalaman dan eksplorasi konsep secara aktif.
Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai Asas Pendidikan
Dalam usaha menyampaikan ilmu yang terbaik, saya meyakini bahawa seorang pendidik juga harus terus belajar dan meningkatkan kemahiran diri. Bidang Pharmacology adalah disiplin yang sentiasa berkembang dan berubah, tidak statik seperti Anatomy atau Physiology. Oleh itu, saya melihat pembelajaran sebagai satu proses sepanjang hayat yang perlu diteruskan bagi memastikan saya sentiasa relevan dan mampu menyampaikan ilmu terkini kepada pelajar. Saya berpegang kepada prinsip bahawa "Learning should never stop because life will not stop teaching", dan saya amat terinspirasi dengan petikan, "A day without learning is like a day without breathing".
Pendekatan dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Dalam setiap sesi pengajaran, saya berusaha untuk mengaplikasikan pelbagai strategi yang menggalakkan student-centred learning, antaranya melalui penggunaan teknologi dalam pembelajaran. Sebagai contohnya, pelajar telah diperkenalkan kepada inovasi pengajaran yang telah saya bangunkan bersama dengan ahli kumpulan saya, iaitu “e-learning for Renal Anatomy & Pharmacology” (e-RAP) sebagai supplementary learning material untuk topik “Diuretics”. Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan pemahaman pelajar tetapi juga membentuk keupayaan mereka untuk berfikir secara kritis dan menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan menarik.
Saya juga telah mengintegrasikan Artificial Intelligence (AI)-powered Mind Map untuk salah satu collaborative learning activity bagi topik “Antirheumatoid and antigout agents”. Untuk aktiviti berkumpulan ini, pelajar diberi panduan untuk menghasilkan mind map berdasarkan beberapa kata kunci (keywords) yang berkaitan dengan topik “Antirheumatoid and antigout agents” dan mereka dibenarkan untuk menggunakan sebarang AI tools untuk menyiapkan tugasan berkumpulan ini. Kaedah inovatif ini ternyata bukan sahaja dapat membantu pelajar membina kefahaman melalui visualisasi tetapi juga meningkatkan kebolehan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar.
Dengan semangat ini, saya bukan sahaja ingin menjadi seorang penyampai ilmu tetapi juga seorang fasilitator yang menggalakkan pemikiran kritis, pembelajaran aktif, dan pembangunan sahsiah dalam kalangan pelajar. Semoga falsafah ini terus membimbing saya dalam mendidik generasi akan datang dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.