Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran
Bagi saya, pengajaran adalah satu proses, bukan hanya satu aktiviti yang berlaku di dalam ruang lingkup yang terhad. Sebagai seorang pendidik saya perlu sentiasa melakukan inovasi dalam pengajaran dan memastikan pelajar saya juga melakukan inovasi dalam pembelajaran mereka. Saya sentiasa cuba mengubah kaedah pengajaran dari masa ke semasa dengan sentiasa dedikasikan untuk melakukan inovasi pengajaran dan melakukan perubahan.
“Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain” (HR Ibn Hibban)
Setelah tamat pengajian ijazah kedoktoran, kerjaya sebagai seorang pendidik diteruskan di Pusat Asasi Sains dan Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (PUSPA). Memulakan tugas di PUSPA, saya mulanya jadi kaku kerana saya berdepan dengan pensyarah yang berpengalaman. Saya memikirkan apakah kaedah yang harus saya gunakan untuk mendidik pelajar saya. Saya mula memikirkan betapa beratnya tanggungjawab saya untuk mendidik. Di awal kerjaya sebagai pendidik di PUSPA, saya cuba melakukan ujikaji dalam kaedah pengajaran.
"That's a way to do it better - find it” Thomas A. Edision
Mengajar fizik kepada pelajar Asasi agak mencabar. Sebagai pelajar lepasan sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran peringkat universiti adalah baru bagi mereka. Tambahan pula, Fizik dianggap sebagai matapelajaran yang sukar dan tidak menarik. Memahami formula dan aplikasinya adalah sukar bagi mereka. Disebabkan itu saya telah menjadikan inovasi sebagai pemangkin dalam perubahan kaedah dan teknik pengajaran saya untuk mengatasi cabaran ini. Konsep permainan dalam pengajaran telah sedia diketahui menjadi trend baharu didalam proses pengajaran dan pembelajaran. Konsep ini sangat bersesuaian dengan pelajar Asasi yang didalam peralihan dari cara pembelajaran peringkat sekolah kepada cara pembelajaran peringkat pengajian tinggi. Projek-projek inovasi pembelajaran yang telah saya laksanakan menunjukkan keberkesanan konsep permainan dalam pengajaran. Saya juga cuba sebaik mungkin memastikan motto Pusat Asasi Sains dan Perubatan UniSZA, “Ilmu dan Akhlak Pemacu Kecemerlangan Insan” dan motto UniSZA, “Ilmu demi faedah insan” diterapkan didalam aktiviti pengajaran saya.
Saya bermula dari seorang 'behavioris' yang mana pada ketika itu saya percaya bahawa pembelajaran wujud melalui ransangan guru dan pengetahuan terbina hasil dari tindakbalas pelajar. Namun dalam perjalanan saya, saya tersedar bahawa ransangan guru sahaja tidak cukup untuk pelajar membina pengetahuan mereka. Ini kerana dalam menyemai pengetahuan dan kemahiran pelajar perlu diberikan pengalaman seiring dengan keperluan mereka. Pelajar perlu mengeksplorasi dan membina pengetahuan hasil dari eksplorasi dan refleksi dari pengalaman mereka. Lantas saya meneruskan perjuangan dalam diri saya untuk menjadi seorang pendidik yang "kognitivisme".
“No problem can withstand the assault of sustained thinking.” -Voltaire
Kesinambungan persekitaran pembelajaran dengan dunia sebenar adalah penting dan pendidik harus terus belajar dan mengubah suai pendekatan dalam mencari kaedah terbaik dalam pengajaran. Pada saya, inovasi bahan pengajaran dalam pelbagai subjek mampu menaikkan tahap pemikiran dan meningkatkan daya faham yang lebih tinggi dalam kalangan pelajar. Keberkesanan sesuatu bahan mengajar bukanlah terletak pada kecanggihan alatan tersebut, akan tetapi ia bergantung pada idea, konsep dan motif yang boleh diterjemahkan dlm bentuk produk inovasi yang senang difahami oleh pelajar. Produk inovasi pembelajaran yang dicipta juga harus bersesuaian dengan tahap pengajian, sebagai contoh pendidik boleh merekabentuk produk inovasi berbentuk permainan bagi pelajar, bersesuaian dengan sifat keremajaan mereka yang masih lagi berada dalam ruang lingkup leka dengan sesuatu permainan. Menterjemahkan ilmu dalam sesuatu permainan amatlah sesuai pada peringkat umur sedemikian. Permainan secara alaminya dapat merangsang fungsi otak dan domain pembelajaran akan berintegrasi antara satu sama lain secara semula jadi. Hal ini tidak berlaku semasa pengajaran secara tradisional. Melalui permainan, perkembangan kognitif pelajar turut dapat diperkembangkan kerana pelajar tentunya berasa teruja, seronok dengan permainan tersebut. Perasaan ini amat penting untuk dibina dan dipupuk dalam proses penyerapan ilmu. Pelajar yang bebas dari sebarang tekanan dipercayai lebih mudah memahami sesuatu konsep ilmu. Maka, di sinilah secara zahirnya, memperlihatkan bahawa profession seorang pendidik sangat penting dan merupakan aspirasi utama dalam melahirkan modal insan yang berilmu tinggi, kreatif dan berinovasi. Ia bukan hanya untuk melibatkan pelajar tetapi untuk menyediakan mereka dalam mengharungi perkembangan dunia yang pesat dan menyediakan mereka untuk perubahan dunia global. Saya percaya bahawa pelajar di abad ke-21 perlu diberi peluang untuk meneroka di luar persekitaran kelas fizikal dan dapat berinteraksi antara pelajar dan pendidik pada bila-bila serta di mana- mana sahaja.
Innovation Competition and Exhibition UiTM, 2020