Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran
-"Minat (Passion), Sabar (Patience) dan Teliti (Particular)" -Saya melihat pengajaran dan pembelajaran (PDP) sebagai proses pemerolehan ilmu atau pengetahuan yang menyeluruh. Pengetahuan ini bukan sahaja merangkumi isi kandungan (kognitif) kursus tertentu tetapi juga aspek-aspek lain seperti kemahiran insaniah (psikomotor) dan afektif. Ia mengenai persiapan individu bukan hanya untuk memenuhi keperluan industri, tetapi juga untuk menghadapi ketidaktentuan masa depan, seperti yang kita telah alami pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan ledakan maklumat yang tanpa had.
Pengetahuan mesti diperoleh, diterima pakai, disesuaikan, dan akhirnya diaplikasikan mengikut kesesuaian semasa. Kita mungkin tidak mengetahui apa yang bakal dihadapi oleh pelajar kita di masa depan. Oleh itu, dalam konteks pemerolehan pengetahuan, kita sebagai guru, pendidik, atau pensyarah perlu memahami bahawa setiap individu mempunyai keupayaan, latar belakang, kekuatan, dan potensi yang berbeza. Dengan pendekatan ini, kita dapat membantu mereka mempersiapkan diri untuk masa depan yang lebih baik dan tidak menentu.
Dalam hidup ini, ada tiga perkara penting yang sentiasa saya pegang dan saya namakan sebagai 3P. Pertama, minat atau "passion". Minat memberikan kita motivasi dan kekuatan untuk terus berusaha, walaupun berdepan dengan cabaran dan rintangan. Ia adalah api yang membakar semangat kita untuk mencapai matlamat dan impian.
Kedua, sabar atau "patience." Sabar adalah kunci untuk menghadapi kesukaran dan kegagalan. Dengan kesabaran, kita belajar untuk tidak mudah berputus asa dan terus berusaha walaupun hasilnya tidak segera terlihat. Sabar juga membantu kita untuk mengawal emosi dan membuat keputusan yang lebih bijaksana.
Ketiga, teliti atau "particular". Ketelitian adalah keupayaan untuk memberi perhatian kepada butiran kecil yang mungkin diabaikan oleh orang lain. Sikap teliti memastikan bahawa kita melakukan tugas dengan sempurna dan menghindari kesilapan yang boleh dielakkan. Ketelitian juga menunjukkan komitmen kita terhadap kualiti dan keunggulan dalam setiap apa yang kita lakukan.
Dengan menggabungkan ketiga-tiga prinsip ini - minat, sabar, dan teliti - kita dapat mencapai kejayaan yang bermakna dan berkesan dalam kehidupan kita.
Seorang guru@pensyarah mestilah berinovatif dalam pembelajaran mereka bagi menghasilkan PdP yang lebih menarik dan berkesan.
Gambar ketika Perkongsian Ilmu Falak Inovasi dalam Pengajaran kepada pegawai falak mufti negeri-negeri di Malaysia sempena Muzakarah Falak Kebangsaan