Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran
Pengajaran dan pembelajaran (PDP) merupakan satu proses yang melibatkan guru, pelajar dan kandungan pembelajaran itu sendiri. Untuk memastikan PdP berjalan dengan lancar, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing.
Sebagai seorang guru, guru perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan sentiasa meningkatkan ilmu tersebut dari masa ke masa. Peranan guru bukanlah penyampai ilmu bahkan lebih kepada berkongsi ilmu dengan para pelajar kerana ilmu itu sangat luas dan tidak semua perkara dalam jangkauan pengetahuan guru. Selain berkongsi ilmu, guru seharusnya menjadi pembimbing, pemudah cara para pelajar dalam proses menuntut ilmu.
Bagi pelajar pula, mereka perlu sedar proses pembelajaran merupakan tanggungjawab mereka dan tidak boleh sepenuhnya bergantung kepada guru. Pelajar sendiri yang perlu mencari maklumat, membaca, menaakul dan membina makna mereka yang tersendiri dalam memahami sesuatu perkara. Manakala guru akan sentiasa bersama pelajar untuk membimbing mereka.
Falsafah pengajaran dan pembelajaran ini berkait rapat dengan 2 teori utama dalam pembelajaran iaitu teori behaviourisme dan konstruktivisme. Terdapat pelbagai teori dalam PdP namun kedua teori ini dipilih melihat kepada kepentingannya dalam proses PdP.
Menurut teori behaviourisme pelajar perlu ditunjuk cara, diajar sebelum mereka berupaya untuk melakukannya sendiri. Seterusnya aspek pengukuhan turut perlu diberi perhatian. Pengukuhan ini termasuklah latihan, ujian dan penilaian berterusan. Ganjaran berupa pujian dan hadiah turut diberikan untuk menghargai pelajar yang dapat melaksanakan tugasan dengan cemerlang.
Manakala teori konstruktivisme memberi penekanan bahawa pelajar yang membina makna terhadap setiap apa yang dipelajari. Makna atau kefahaman setiap pelajar adalah berbeza bergantung kepada pengalaman mereka sebelum ini. Perbezaan latar belakang pelajar akan menghasilkan makna yang berbeza bagi setiap pelajar. Perbezaan ini secara tidak langsung akan mengembangkan lagi ilmu apabila setiap sesuatu itu dipandang dari sudut yang berbeza.