Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran
Pernyataan Teori / Model Asas Falsafah PengajaranFalsafah pengajaran saya diperkukuh oleh pendekatan Konstruktivisme Sosial serta Teori Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (Experiential Learning) yang menekankan peranan aktif pelajar dalam pembinaan pengetahuan melalui interaksi, refleksi dan penerokaan kontekstual.
Melalui perspektif Konstruktivisme, seperti yang digariskan oleh Vygotsky dan Piaget, pembelajaran berlaku secara aktif apabila pelajar terlibat secara langsung dalam proses membina makna melalui pengalaman dan interaksi sosial. Pendekatan ini mendorong saya untuk merancang sesi pengajaran yang menekankan kolaborasi, pembelajaran kendiri, serta tugasan yang bersifat autentik dan aplikatif.
Sementara itu, Teori Pembelajaran Kolb pula menjadi landasan dalam membentuk struktur pengajaran yang berasaskan kitaran empat fasa: pengalaman konkrit, pemerhatian reflektif, konseptualisasi abstrak dan percubaan aktif. Pendekatan ini amat signifikan dalam bidang Matematik Kewangan dan Sains Gunaan, kerana ia membolehkan pelajar mengaitkan teori dengan aplikasi dunia sebenar melalui simulasi, kajian kes dan penyelesaian masalah berasaskan data.