Penambahbaikan PdP dan Pembangunan Professional
Sebagai seorang pensyarah, saya percaya bahawa proses pembelajaran tidak pernah terhenti dan perlu diteruskan sepanjang hayat, lebih-lebih lagi dalam dunia pendidikan yang sentiasa berkembang. Oleh itu, saya beriltizam untuk sentiasa mengemas kini pengetahuan, kemahiran dan pengalaman saya bukan sahaja sehingga ke usia persaraan, malah sepanjang perjalanan profesional saya sebagai ahli akademik. Bagi memastikan saya kekal relevan dan mampu memberikan pengajaran serta penyeliaan yang berkualiti tinggi, saya telah menyertai pelbagai program latihan, kursus dan bengkel pembangunan profesional dari semasa ke semasa.
Lampiran yang disertakan merupakan bukti komitmen saya terhadap pembangunan kendiri melalui penyertaan dalam program-program latihan yang merangkumi pelbagai bidang seperti inovasi dalam pengajaran, pemantapan penyeliaan, penilaian berasaskan hasil pembelajaran (OBE), pembangunan kurikulum, penggunaan teknologi dalam PdP, serta peningkatan kemahiran insaniah dan kepimpinan akademik.
Saya amat menghargai usaha dan komitmen pihak pengurusan UniSZA yang sentiasa prihatin terhadap keperluan pembangunan profesional staf akademik. Sokongan berterusan dalam bentuk bantuan kewangan, kemudahan latihan dan galakan menyertai program pembangunan telah memberi kesan yang sangat positif terhadap prestasi, motivasi dan kualiti pengajaran saya. Dengan adanya inisiatif ini, saya bukan sahaja dapat meningkatkan kompetensi diri, malah dapat menyumbang secara lebih efektif kepada kecemerlangan pelajar, fakulti dan universiti secara keseluruhan.