Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran
PERNYATAAN FALSAFAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Setiap pendidik pastinya mempunyai falsafah ataupun pemikiran tersendiri dalam bidang pendidikan. Bagi saya, saya melihat proses pengajaran dan pembelajaran merupakan suatu proses untuk pelajar memperoleh ilmu pengetahuan yang seterusnya dapat membina mereka menjadi seorang insan yang berguna buat agama, bangsa, dan negara. Ini bertepatan dengan moto UniSZA; Ilmu Demi Faedah Insan (Knowledge For Benefit Of Humanity). Bagi saya. proses pembelajaran bukan sahaja menyediakan pelajar untuk mendapat ilmu pengetahuan semata, namun membina keperibadian yang mampan, bertepatan dengan misi UniSZA untuk Melahirkan insan holistik dengan nilai-nilai Naseem melalui pendidikan cemerlang dan penyelidikan berimpak tinggi dalam memperkasakan masyarakat. Semua ini amat penting dalam melahirkan pelajar saya bukan sahaja bersedia untuk memenuhi permintaan industri tetapi juga menempuhi cabaran global pada masa akan datang yang pastinya mencabar dan ketidakpastian. Seterusnya menzahirkan nic UniSZA iaitu Peradaban Insan, Perubatan Kejituan, Sains, Teknologi, Pengurusan dan Teknousahawan.
Secara ringkas, falsafah pendidikan saya ialah;
Melahirkan generasi pelajar atau bakal doktor yang celik ilmu perubatan dan sains kesihatan sehingga dapat direalisasikan sepanjang hayat - Mohd Faeiz Pauzi
Melaksanakan rancangan pengajaran berteraskan kurikulum berfleksibel untuk subjek perubatan dan sains kesihatan berasaskan teknologi dan inovasi - Mohd Faeiz Pauzi
Untuk mencapai proses ini, kita sebagai pendidik perlu memahami bahawa setiap pelajar kita lahir dari pelbagai latar belakang, mempunyai pelbagai potensi dan keupayaan yang semestinya perlu dididik dan dibimbing dan seterusnya amalan baik ini dapat mereka tambah baik dan diperturunkan kepada generasi seterusnya. Jadi selain memberi ilmu pengetahuan kita juga perlu mengenali dan seterusnya mencungkil potensi pelajar kita. Saya teringat dengan kata-kata Albert Einstein;
Everybody is a genius. But if you judge a fish by its ability to climb a tree, it will live its whole life believing that it is stupid.
Peranan saya sebagai pendidik ialah membantu setiap setiap pelajar saya mengembangkan potensi dan gaya pembelajaran mereka sendiri. Saya umpama jambatan yang menghubungkan kurikulum yang akan menghimpunkan setiap gaya pembelajaran berbeza dan menjadikannya ianya relevan dengan kehidupan pelajar. Saya akan menggabungkan pembelajaran serentak (synchronous), tidak serentak (asynchronous), kerja dan pembentangan berkumpulan (seminar, perbincangan kes), kerja individu (mempersembahkan kes klinikal, penulisan laporan kes), simulasi klinikal dan pemeriksaan klinikal.
Terdapat lima elemen penting yang saya terapkan;
- Peranan pendidik adalah bertindak sebagai pembimbing dan memberi panduan
- Setiap pelajar mesti mempunyai akses kepada setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran tanpa ada satu tertinggal
- Pelajar berpeluang untuk memilih dan membiarkan rasa ingin tahu mereka mengarahkan pembelajaran mereka
- Pelajar diberi peluang untuk mempraktikkan kemahiran dalam persekitaran yang kondusif dan selamat
- Teknologi diserapkan dalam teknik pengajaran dan pembelajaran
Didiklah anak-anakmu itu berlainan dengan keadaan kamu sekarang kerana mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau. - Saidina Umar Al-Khattab
PERNYATAAN TEORI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Terdapat pelbagai teori pembelajaran seperti teori Behavioris (Pavlov, Watson, Guthrie, Thorndike, Skinner) berkaitan tingkah laku, Kognitif (Koffka/ Kohler, Bruner Gagne, Ausuble) berkaitan pemikiran, Sosial/ Neo Behavioris (Bandura) berkaitan prestasi pemodelan, maupun Humanis berkaitan kemanusiaan dan keperluan asas yang dipelopori oleh Maslow.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran saya adalah berdasarkan 2 teori ini iaitu;
- Teori Konstruktivisme
- Teori Behavioris
Seperti saya sentiasa tekankan kepada pelajar saya yang tubuh manusia ini dinamik, begitu juga dengan sifat pelajar. Mereka bukan mesin yang boleh ikut acuan sama. Mereka mempunyai kemampuan dan tahap penerimaan yang berbeza. Saya menyediakan persekitaran pembelajaran yang membolehkan pelajar menerima dan memahami konsep pengajaran mengikut kaedah mereka. Di sini Teori Konstruktivisme memainkan peranan.
Untuk subjek berkaitan perubatan, kebanyakan pelajar merasakan subjek ini susah dan membosankan dan membayangkan pelu jadi ulat buku dan tiada kehidupan sosial. Oleh itu saya berperanan untuk meningkatkan minat mereka dan memotivasikan diri mereka supaya mereka lebih aktif dan tidak hilang minat untuk terus belajar. Di sini hadirnya Teori Behavioris untuk membantu.
Antara aktiviti pengajaran dan pembelajaran saya ialah menggalakkan penglibatan aktif pelajar samada secara persendirian atau berkumpulan. Pembelajaran perubatan memerlukan latihan amali atau klinikal. Di sini tercetus idea untuk saya mengajak mereka berseronok melakukan aktiviti pengajaran secara kelas berbalik (Flipped classroom) dan juga belajar sambil bermain melalui inovasi saya berasakan pembelajaran menggunakan konsep augmented reality, dan terhasilnya projek AR Clinical Skill Lab. Ini supaya mereka merasakan "medic is fun and easy to learn".