Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran
"MENDIDIK DENGAN HATI"
Sebagai seorang pendidik, saya mempercayai teras dan nilai berikut dalam proses pengajaran dan pembelajaran saya :
1. Seorang pendidik mesti membuat pilihan yang terbaik tentang apa dan bagaimana untuk menstruktur dan mengorganisasi bahan-bahan pengajaran sebagaimana yang dikehendakkan di dalam kurikulum.
2. Saya mesti tahu apa yang patut diajar dan cara terbaik yang mesti dilakukan semasa mengajar supaya pengajaran dan pembelajaran saya menjadi berkesan dan bermakna. Setiap pendidik harus cuba mengenali pelajarnya dengan sebaik mungkin. Saya mesti sentiasa beringat bahawa pelajar datang ke kelas untuk belajar bermula dari yang asas sebelum mencapai peringkat yang lebih tinggi. Mengajar adalah proses untuk menggalakkan pelajar menghubungkaitkan dunia sebenar dengan matapelajaran yang dipelajari. Saya harus membimbing pelajar untuk mencapai apa yang ingin dicapai oleh pelajar dan pelajar juga harus mendapat pengalaman baru, penerangan dan kemahiran.
3. Seorang pelajar harus diberi peluang untuk mengembangkan idea dengan penuh potensi diri supaya boleh menghubungkan diri mereka dengan persekitaran. Ini bertujuan menyediakan pelajar yang mampu adaptasi pada masa akan datang.
4. Peranan seorang guru adalah sebagai pemudahcara. Saya perlu mengalakkan pelajar menjadi pelajar yang boleh berdikari di dalam kelas. Walaubagaimanapun, saya sedar pelajar belajar dalam pelbagai cara dan saya perlu komited terhadap penglibatan pelajar di dalam proses pembelajaran. Saya perlu mempelbagaikan gaya, kaedah dan strategi pengajaran dan melibatkan pelajar di dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Teknologi penting sebagai medium perantara sejak ia diperkenalkan kerana ini boleh menjadi alat bantu mengajar di dalam mempelbagaikan corak pengajaran. Ia boleh mengalakkan lagi penglibatan pelajar di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
5. Melalui pengajaran saya, pelajar boleh mendapat pengalaman secara berterusan melibatkan komputer dan teknologi maklumat. Saya juga percaya teknologi mesti digunakan untuk pembelajaran yang lebih baik dan berkesan. Internet juga merupakan salah satu perkara penting untuk mencapai konsep komuniti secara global.
6. Saya bertanggungjawab dalam menjalinkan perhubungan dengan pelajar. Saya perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan semua pelajar di dalam kelas mahupun di luar kelas. Saya juga perlu menghormati semua pelajar tanpa memilih bangsa, warna kulit, jantina, individu istimewa malahan warganegara asing.
7. Saya percaya semua pelajar berupaya untuk belajar dan semua pelajar boleh menyumbang di dalam persekitaran kelas. Setiap pelajar boleh membawa perubahan di dalam suasana kelas yang harmonis dan sejahtera. Pembelajaran di dalam kelas adalah proses yang saling berkaitan. Saya mesti komited terhadap kejayaan pelajar dan saya dipertanggungjawabkan untuk menjadikan matapelajaran yang diajar menyeronokkan dan menghiburkan.
8. Saya mesti membuat penilaian terhadap hasil kerja anak didik saya dengan cara formatif dan sumatif. Saya juga mesti memastikan penglibatan pelajar yang menyeluruh di dalam kelas. Saya percaya penglibatan yang tinggi menjadi panduan terhadap pembelajaran yang bermakna dan saya dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan mengalakkan penglibatan pelajar di dalam kelas.
9. Saya percaya kemahiran untuk menjadi pendidik yang berkesan boleh dibentuk. Perkongsian maklumbalas dengan pelajar mampu memvariasikan kaedah pengajaran yang lebih berkesan. Saya perlu meningkatkan kemahiran diri daripada semasa ke semasa bagi membolehkan saya melaksanakan fungsi pendidik dengan lebih baik.
Teori pembelajaran yang digunakan adalah pembelajaran konstruktif dan experiential dimana pelajar mempunyai kawalan dalam pembelajaran mereka serta belajar melalui pengalaman. Pendekatan konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda pelajar. Pengetahuan dikembangkan secara aktif oleh pelajar itu sendiri dan tidak diterima secara pasif dari persekitarannya. Ini bermakna pembelajaran merupakan hasil daripada usaha pelajar itu sendiri dan bukan dipindahkan daripada guru kepada pelajar. Dalam kelas SAD ini, pelajar diberikan contoh kajian kes sebelum menggunakan pengetahuan yang diperolehi tersebut untuk menyediakan solusi bagi kes kajian mereka. Dengan kaedah ini pelajar mengembangkan pengetahuan awal yang mereka perolehi melalui contoh-contoh perbincangan dalam kuliah dan disokong dengan bahan yang disediakan dalam KeLIP secara teradun untuk dipraktikan dalam kes kajian mereka. Secara automatik mereka membina (konstruk) pengetahuan dalam minda mereka melalui aktiviti yang dialami sendiri. Manakala experiential learning pula pembelajaran berasaskan pengalaman adalah suatu proses pembelajaran menerusi refleksi perlakuan. Berdasarkan kaedah ini, segala bentuk pengalaman yang dilalui dan dialami oleh individu atau pelajar dipindahkan dalam bentuk pengetahuan.