Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran
- Saya percaya bahawa universiti merupakan institusi yang paling ideal dan penting untuk melahirkan modal insan yang dihasratkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi yang menekankan pentingnya pendidikan dan pembinaan insan yang holistik dan menyeluruh, merangkumi aspek intelek, emosi, jasmani dan rohani dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor. Universiti merupakan sebuah masyarakat kecil di mana nilai-nilai dan ciri-ciri kemanusiaan yang baik boleh dipupuk dan diterapkan dalam kalangan mahasiswa. Sebagai seorang pensyarah, peranan saya adalah untuk memimpin dan membimbing para pelajar saya ke arah mencapai hasrat Kementerian Pengajian Tinggi tersebut melalui sepuluh Lonjakan Utama dengan program-program fakulti dan universiti yang sihat dan kondusif seperti melalui pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik kuliah.Saya percaya sebagai seorang pensyarah, mengajar adalah tugas hakiki yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan penuh keikhlasan untuk mendidik anak-anak bangsa dari semua peringkat umur tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang mereka. Seorang pensyarah yang cemerlang adalah pensyarah yang mempunyai pemahaman yang tinggi terhadap matapelajaran yang diajar sebagaimana yang terdapat di dalam teori pedagogi. Seorang pensyarah juga mesti membuat pilihan yang terbaik tentang apa dan bagaimana untuk menstruktur dan mengorganisasi bahan-bahan pengajaran sebagaimana yang dikehendaki di dalam sukatan kurikulum untuk melaksanakan apa yang telah dihasratkan. Saya mesti tahu apa yang patut diajar dan cara terbaik yang mesti dilakukan semasa mengajar supaya pengajaran dan pembelajaran saya menjadi berkesan dan bermakna. Setiap pensyarah harus tahu mengenali pelajarnya dengan baik. Saya mesti sentiasa beringat bahawa pelajar datang ke kelas untuk belajar bermula dari yang asas sebelum mencapai peringkat yang lebih tinggi. Mengajar adalah proses untuk menggalakkan pelajar menghubungkaitkan dunia sebenar dengan matapelajaran yang dipelajari. Saya harus membimbing pelajar untuk mencapai apa yang ingin dicapai oleh pelajar dan pelajar juga harus mendapat pengalaman baru, penerangan dan kemahiran.Proses pengajaran berlaku apabila terdapat pensyarah sebagai pengajar dan pelajar sebagai orang yang menerima dan menginginkan ilmu. Tugas seorang pensyarah bukan sahaja mengajar tentang subjek yang telah dipilih atau mengikut bidang, tetapi merangkumi batasan pengajaran yang mengajar erti mengenal hidup. Pensyarah harus menerima hakikat walau sesiapa pun yang menjadi pelajarnya harus dilayan seperti pelajar. Tiada pilih kasih dan harus bersikap lebih optimis. Para pelajar kini datangnya bukan dengan otak kosong tetapi kebanyakan berisi, walaupun tidak pasti isinya yang terdapat dalam pelbagai bentuk. Hanya tinggal cara membawa pelajar ke arah landasan dan objektif yang betul. Majoriti pelajar masih membawa sikap, pengaruh serta budaya daripada rumah atau persekitaran luar kampus. Aspek yang perlu diberi perhatian adalah kesediaan mental dan fizikal pelajar untuk menerima ilmu yang berbeza. Berhadapan dengan tugas pensyarah harus menyedari bahawa pelajar adalah berbeza kebolehan mereka. Bukan semua dapat mengambil dan memahami apa yang diajar. Melalui kaedah pengajaran yang pelbagai akan menampakkan matlamat dalam proses pembelajaran. Matlamat saya sebagai seorang pensyarah ialah berupaya meningkatkan keupayaan pelajar dalam proses pembelajaran. Pembelajaran merangkumi semasa berada di dalam kuliah dan penglihatan persekitaran luar daripada kampus. Di dalam kuliah pelajar didedahkan dengan pengajaran tanpa pengalaman. Tetapi apabila diluar kampus pelajar boleh mengaplikasikan apa yang diajar. Apabila terlaksana secara tidak langsung matlamat pengajaran akan tercapai.Peranan seorang pensyarah adalah sebagai pemudahcara. Saya perlu mengalakkan pelajar menjadi pelajar yang boleh berdikari di dalam kuliah. Walaubagaimanapun, saya sedar pelajar belajar dalam pelbagai cara dan saya perlu komited terhadap penglibatan pelajar di dalam proses pembelajaran. Saya perlu mempelbagaikan gaya, kaedah dan strategi pengajaran dan melibatkan pelajar di dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Saya percaya semua pelajar berupaya untuk belajar dan semua pelajar boleh menyumbang di dalam persekitaran kuliah dan kampus. Saya mesti komited terhadap kejayaan pelajar dan saya dipertanggungjawabkan untuk menjadikan matapelajaran yang diajar menyeronokkan. Saya juga mesti memastikan penglibatan pelajar yang menyeluruh di dalam kuliah. Saya percaya penglibatan yang tinggi menjadi panduan terhadap pembelajaran yang bermakna dan saya dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti dan mengalakkan penglibatan pelajar di dalam kuliah.