Kes keracunan ‘magic mushroom’ oleh seorang
remaja di Kemaman pada 22 Julai yang lalu tidak mengejutkan kerana sehingga
kini masih belum ada undang-undang yang berkesan mengawal penjualan dan akses
vape dan e-rokok kepada remaja dan kanak-kanak di Malaysia.
Selain daripada kes ini, sehingga Jun 2023 Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima 17 kes penyakit paru-paru iaitu E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury atau EVALI, yang berpunca daripada rokok elektronik, termasuk vape.
Pada masa yang sama, 69 kes keracunan vape dalam kalangan kanak-kanak yang telah dilaporkan daripada tahun 2015 sehingga Ogos 2023. Antaranya pada 30 Mei 2023, seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun telah mengalami keracunan nikotin akut selepas dipercayai tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang dalam insiden di Bera, Pahang pada.
Kini telah terdapat pelbagai jenis peranti vape dan e-rokok yang dijual di pasaran antaranya adalah sistem pod, mod dan pen yang menggunakan sistem terbuka yang membolehkan pengguna menukar isian cecair vape mengikut kesukaan mereka. Penjualan vape juga semakin kreatif mensasarkan kanak-kanak dan remaja dengan bentuk yang menarik seperti ‘kotak susu’ dan berperisa namun masih boleh terdedah kepada isian cecair bernikotin dan dadah seperti magic mushroom ini.
Realitinya, kita di Malaysia sudah terlalu lama berada dalam kelompongan undang-undang bagi mengawal produk vape dan rokok elektronik di pasaran yang menyebabkan penggunaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin tidak terkawal.
Ini dibuktikan dengan dapatan tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan (NHMS) pada tahun 2022 yang menunjukkan peningkatan e-rokok atau vape sehingga 5% iaitu daripada 9.8% pada tahun 2017 kepada 14.9% pada tahun 2022. Peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu daripada 2.8 peratus pada 2017 kepada 6.2 peratus pada 2022.
Golongan remaja ini mendapatkan vape dan e-rokok daripada kedai runcit dan kedai vape khusus (35%) dan daripada rakan-rakan mereka sendiri (30%). Malah semakin banyak vape dijual di atas talian tanpa kawalan. Ini menunjukkan betapa mudahnya akses vape dan e-rokok kepada golongan remaja.
Pendedahan terhadap vape dan e-rokok juga bermula lebih awal iaitu sejak kanak-kanak lagi apabila semakin ramai lelaki dewasa termasuk ahli keluarga mereka yang menghisap vape dan e-rokok di hadapan kanak-kanak ini.
Berbanding penjualan rokok yang dikawal melalui Akta Makanan 1983, sehingga kini tiada akta atau RUU khusus mengawal penjualan vape di pasaran sedangkan ia telah memasuki Malaysia sejak tahun 2012 lagi. Lebih mengecewakan apabila cecair nikotin dikeluarkan dari senarai racun dalam Akta Racun pada Julai 2023 bagi membuka ruang kepada percukaian vape bermula tarikh yang sama.
Pada masa yang sama undang-undang tempatan berkenaan penjualan vape juga berbeza mengikut negeri. Sehingga kini, hanya negeri Johor yang mempunyai undang-undang tempatan yang mengawal penjualan vape, namun di negeri-negeri lain pembukaan kedai vape adalah tidak terkawal dan tidak berlesen.
Usaha untuk meningkatkan kawalan ke atas penjualan rokok dan vape telah dimulakan oleh KKM semasa pembentangan RUU Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG) yang telah dibuat oleh bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin pada tahun 2022. Namun begitu, RUU ini telah digugurkan setelah dinilai sebanyak dua kali oleh jawatankuasa khas parlimen.
Akhirnya pada bulan November 2023 baharulah RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang dibentangkan oleh bekas Menteri Kesihatan pada masa itu Dr Zaliha Mustafa telah diluluskan di Dewan Rakyat. Malangnya, peruntukan GEG iaitu untuk melarang anak-anak yang lahir selepas 2007 dilarang secara terus daripada merokok dan menghisap vape telah dikeluarkan.
Sehingga kini sudah hampir sembilan bulan RUU berkenaan sedang digubal dan masih belum dikuatkuasakan yang menyebabkan peniaga vape dan e-rokok sedang mengambil kesempatan meningkatkan pengaruh dan penjualan ‘candu beracun’ ini kepada remaja.
Justeru, kerajaan hendaklah membuat penguatkuasaan undang-undang dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah. Selain itu, sebuah kajian menyeluruh berkenaan penjualan vape kepada remaja dan kesannya kepada kesihatan hendaklah diadakan di sekolah-sekolah seluruh negara.
Akhir sekali, kempen kesedaran bahaya vape dan rokok hendaklah digencarkan di sekolah-sekolah sebagai kaedah pencegahan awal daripada ketagihan dan seterusnya penyakit disebabkan menghisap vape dan rokok.
Usaha yang bersepadu daripada pelbagai agensi sangatlah diperlukan di saat ini bagi menyelamatkan generasi masa depan negara daripada bahaya vape dan rokok.
Dr Mohd Ihsanuddin bin Abas
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Naib Presiden I-Medik