Falsafah Pengajaran dan Pembelajaran

Saya percaya bahawa pengajaran yang berkesan harus bersifat konstruktif, reflektif dan mendorong pemikiran kritis. Oleh itu, saya mengintegrasikan pelbagai kaedah pengajaran termasuk penggunaan nota ringkas, elemen grafik serta aktiviti luar bilik kuliah seperti lawatan ke makmal dan taman herba bagi membantu pelajar mengaitkan teori dengan amalan sebenar. Bahan pengajaran saya disusun berdasarkan rujukan daripada buku teks, artikel jurnal, dapatan penyelidikan saya sendiri serta pengalaman profesional sebagai ahli farmasi. Saya yakin bahawa melalui pendekatan yang pelbagai dan kontekstual ini, pelajar akan dapat memahami bidang farmasi dengan lebih mendalam, menghargai aplikasinya, serta membentuk jati diri profesional. Matlamat saya adalah untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga beretika, berintegriti dan kompeten sebagai ahli farmasi bertauliah.