💬 Penilaian / Testimoni Pengajaran
💬 Penilaian / Testimoni Pengajaran
Penilaian pengajaran secara sistematik merupakan salah satu mekanisme penting dalam menilai keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Saya sentiasa memberi perhatian serius terhadap maklum balas pelajar melalui sistem e-Pengajaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan menjadikan laporan penilaian sebagai asas kepada refleksi dan penambahbaikan berterusan.
4.1 Penilaian oleh Pelajar
CSA20203 – Network Analysis & Design
Sesi: Semester II, 2024/2025
Jumlah pelajar: 48 | Responden: 31 (64.58%)
Purata keseluruhan penilaian: 4.93 / 5.00 (98.6%)
Pelajar memberikan skor maksimum bagi hampir semua aspek, termasuk persediaan pensyarah, penggunaan teknologi IR 4.0, interaktiviti, dan penjelasan kandungan. Bahagian penilaian kursus juga menunjukkan keselarasan antara aktiviti pembelajaran dan hasil pembelajaran kursus (HPC), dengan purata tertinggi pada aspek “kandungan bertepatan dengan HPC” dan “pentaksiran berasaskan aktiviti”.
CSW20403 – Internet of Things
Sesi: Semester II, 2024/2025
Jumlah pelajar: 54 | Responden: 40 (74.07%)
Purata keseluruhan penilaian: 4.85 / 5.00 (97%)
Pelajar menghargai keberkesanan penyampaian, kaedah interaktif dan penekanan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman. Penggunaan teknologi semasa serta projek akhir yang berkait dengan inisiatif Green Campus turut memberi impak positif terhadap persepsi pelajar terhadap pengajaran dan kursus secara keseluruhan.
4.2 Testimoni daripada Pelajar
Petikan komen pelajar menunjukkan pengiktirafan terhadap pendekatan santai namun berkesan, kesediaan saya memberikan bimbingan, serta keupayaan membina suasana kelas yang positif dan menyeronokkan.
CSA20203 – Network Analysis & Design
“Kelas sangat interaktif dan tidak membosankan langsung. Banyak gaya pembelajaran digunakan — nota ringkas, peta minda, interview, selfie, laporan berkumpulan, lawatan ke PPIR.”
“Saya suka bila kelas diadakan dalam smart classroom… suasana sangat membantu.”
“Pensyarah sangat berpengetahuan dan sporting. Kaedah ‘call number’ sangat berkesan, saya jadi lebih alert dan tidak berani mengelamun.”
“Sesi lawatan ke PPIR sangat membantu pemahaman saya. Kalau boleh, lawatan sebegini dilakukan lebih awal.”
“Kaedah pembelajaran Dr sangat sangat best, relate dengan situasi sebenar.”
“Saya suka bila Dr kaitkan topik dengan peranan sebenar network designer.”
CSW20403 – Internet of Things
“Dr paling santai dan senang di-approach oleh student. Dr make IoT fun.”
“Lecturer paling sporting di UniSZA. Don’t change anything.”
“Dr sangat boleh influence student untuk lebih minat dalam subjek ini.”
“Saya sangat seronok belajar bersama Dr. Suasana pembelajaran sangat membantu saya untuk lebih faham dan yakin.”
“Cara pengajaran Dr sangat berkesan, dan terbaik bagi student yang asalnya tidak suka IoT, kini saya suka IoT.”
“Saya harap Dr boleh rakamkan semua elemen yang diajar untuk rujukan pelajar sebelum lab test atau final project.”
4.3 Testimoni daripada Rakan Pensyarah
Prof. Madya Dr. Suhailan bin Safei
“Prof. Madya Dr. Azrul Amri merupakan seorang pensyarah yang sangat komited dalam menyampaikan ilmu secara bermakna dan relevan. Beliau sentiasa menekankan pendekatan pengajaran yang berasaskan amalan dunia sebenar, menjadikan teori lebih mudah difahami melalui pelaksanaan projek yang melibatkan komuniti dan industri secara langsung.
Keupayaan beliau untuk menyesuaikan teknik pengajaran dengan kehendak generasi kini amat mengagumkan, termasuk penggunaan platform seperti TikTok dalam menyampaikan kandungan pembelajaran dengan lebih menarik dan dekat dengan pelajar.
Sebagai rakan sejawat, saya sangat menghargai usaha beliau dalam memastikan setiap sesi bengkel atau syarahan akademik yang disertai pensyarah disusuli dengan nota peta minda yang jelas dan praktikal — satu inisiatif yang amat membantu dalam memahami dan mengingati ilmu yang dikongsi.
Keterlibatan aktif beliau dalam komuniti, khususnya dalam memacu inovasi teknologi seperti IoT di sekolah, universiti, dan syarikat, membuktikan bahawa beliau bukan sahaja seorang pendidik yang berdedikasi, tetapi juga seorang pemangkin perubahan yang memberi impak nyata kepada masyarakat.”
4.4 Pengiktirafan dan Kesan Sosial
Walaupun belum dalam bentuk anugerah rasmi, maklum balas pelajar menggambarkan kesan jangka panjang PdP terhadap pembinaan minat, keyakinan, dan kefahaman. Pelajar menunjukkan keterujaan terhadap kursus, malah beberapa testimoni bersifat peribadi dan penuh penghargaan — menyatakan pengaruh pengajaran saya dalam menjadikan subjek yang rumit menjadi menarik dan mudah didekati.