Kaedah Pengajaran/Penyeliaan dan Penilaian
Strategi perancangan dan pelaksanaan yang dilakukan dalam pelaksanaan PdP adalah tersusun dan saling berkait serta mendokong antara satu sama lain - Falsafah-Teori & Model - Strategi - Pendekatan - Kaedah - Teknik sebagaimana gambaran di bawah:
1. Strategi perancangan dan pelaksanaan kaedah yang dilakukan dalam pelaksanaan PdP terhadap pengajaran / penyeliaan
Berikut adalah elemen yang ditekankan dalam strategi perancangan dan pelaksanaan kaedah PdP:
Strategi Pengajaran
Mengambil kira corak pembelajaran yang dilaksanakan adalah secara dalam talian dan kekangan serta cabaran yang dihadapi oleh pelajar akibat PdP dari rumah, maka gabungan strategi pengajaran iaitu Pengajaran Berpusatkan Guru, Pengajaran Berpusatkan Pelajar dan Pengajaran Berpusatkan Bahan dilaksanakan secara bersepadu.
Strategi bersepadu digunakan atas faktor:
i. Situasi pelajar dan keupayaan capaian internet pelajar. Saya menyediakan bahan yang relevan dan bersesuaian bagi memastikan PdP berjalan lancar dan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan (Pengajaran Berpusatkan Bahan).
ii. Kursus merupakan pendedahan tentang ilmu seperti kefatwaan bagi kursus al-Ifta' wa al-Fatwa, kenegaraan bagi kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia; Hubungan Etnik; Pengajian Malaysia, ilmu ibadat bagi kursus Fiqh al-Ibadat dan lainnya, memerlukan berinteraksi dengan isu dan realiti semasa dan setempat. Bimbingan saya sebagai pensyarah (muallim) diperlukan bagi melengkap mereka dengan asas ilmu kefatwaan di samping berperanan sebagai murabbi, mendidik dengan sentuhan ruh (Pengajaran Berpusatkan Guru).
iii. Pembelajaran jarak jauh pastinya menuntut pelajar berdikari dalam menyempurnakan tugasan dan saya sebagai pensyarah hanya bertindak sebagai mentor/fasilitator (Pengajaran Berpusatkan Pelajar).
iv. Kedapatan sesetengah kursus adalah melibatkan pelajar baharu yang kali pertama memulakan pengajian di peringkat pengajian tinggi yang memerlukan strategi PdP adalah secara bersepadu.
Pendekatan
Kursus yang dijalankan menggunakan pendekatan komunikasi (verbal dan non verbal) dan pendekatan situasi. Ini adalah amat sesuai untuk membangunkan karektor pelajar dalam membangunkan karier masing-masing. Contohnya, seorang yang terlibat dengan jawatan dalam bidang kefatwaan memerlukan kemahiran yang tinggi dalam komunikasi di samping sentiasa berhadapan dengan situasi yang menuntut kebijaksanan dalam meneliti dan memperhalusinya. Kedua-dua pendekatan utama ini berlangsung menerusi penyampaian kandungan kursus mahupun melalui aktiviti yang membangunkan kemahiran pelajar iaitu kemahiran berkomunikasi dan pemikiran kritis.
Kaedah
Kaedah yang dipilih dalam melaksanakan PdP dalam situasi COVID-19 dengan arahan pelaksanaannya secara dalam talian, maka kaedah Pembelajaran Teradun Gantian (PTG) dilihat amat bersesuaian.
Contoh Bukti Pelaksanaan PTG dalam KeLIP
Teknik
Teknik yang digunakan bagi menjayakan kaedah PTG telah disenaraikan dalam Garis Panduan PTG oleh Jabatan Pengajian Tinggi.
Antara teknik yang digunakan sepanjang pelaksanaan kursus adalah dalam bentuk syarahan, video, sumbang saran, pembentangan dan kajian kes.
Beberapa contoh teknik digunakan pada sesi pengkuliahan (Direkodkan dalam KeLIP)
i. Penilaian formatif
Penilaian secara berterusan dilakukan bagi mengesan kelemahan penyampaian di pihak pensyarah ataupun tahap penguasaan pelajar terhadap satu-satu topik yang diikuti atau pada setiap sesi pengkuliahan. Dalam pelaksanaan PTG, pentaksiran merupakan salah satu komponen yang mesti dilakukan bagi setiap sesi pengkuliahan.
Contoh penilaian formatif yang dilaksanakan menerusi KeLIP secara mingguan
ii. Penilaian Sumatif
Penilaian sumatif adalah dilakukan bagi mengukur pencapaian pelajar terhadap kursus. Ia dilakukan secara terancang dan melibatkan pemarkahan. Penilaian sumatif juga dianggap penilaian terhadap pencapaian keseluruhan yang melibatkan komponen peperiksaan akhir. Untuk situasi semasa, penilaian sumatif tidak dapat dilaksanakan dan ia digantikan dengan penilaian berterusan.
Contoh Pencapaian Penilaian Sumatif dalam CQI