a) Penerbitan Buku Kajian PdP

Salah satu usaha inovasi dalam PdP ialah melalui penerbitan buku yang berfokus kepada kajian pengajaran dan pembelajaran. Buku ini dihasilkan berdasarkan pengalaman pengajaran, analisis keperluan pelajar, serta penambahbaikan terhadap pendekatan pedagogi yang digunakan dalam bilik kuliah. Kandungan buku merangkumi teori, aplikasi praktikal, cadangan aktiviti pembelajaran, serta refleksi akademik yang dapat dijadikan rujukan oleh pelajar dan pensyarah lain.
Penerbitan ini membantu memperkukuhkan budaya ilmu dan perkongsian amalan terbaik dalam PdP, di samping menjadi sumber rujukan yang lebih sistematik dan berautoriti bagi menyokong proses pembelajaran berterusan. Berikut ialah maklumat penerbitan buku berkaitan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab.

Penerima Anugerah Akademik Universiti (AAU 2024)
Anugerah Penerbitan Buku (Kategori Sains Sosial & Kemanusiaan)
1) Dinamika Pendidikan Bahasa Arab: Menelusuri Inovasi Profesionalisme Keguruan

Buku ini mengandungi lapan bab yang menghuraikan topik perbincangan berkaitan pendidikan bahasa Arab sebagai bahasa asing atau bahasa kedua. Perbincangan menyentuh secara khusus beberapa kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang membuka satu dimensi baru ke arah pelestarian inovasi dalam bidang ini. Pemanfaatan teknologi dalam pendidikan bahasa Arab dapat membantu para pendidik untuk menyemai budaya belajar secara kendiri dalam diri pelajar, selain ia memperlihatkan perkembangan dunia pendidikan bahasa Arab yang seiring dengan perkembangan pendidikan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penyusunan bab-bab dalam buku ini dibuat secara sistematik iaitu dimulai dengan tajuk-tajuk berkaitan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab, dan diakhiri dengan tajuk-tajuk yang melibatkan perbincangan tentang petaksiran dan penilaian. Kesemua tajuk yang terkandung dalam buku ini adalah relevan dengan bidang pendidikan di semua peringkat, sama ada peringkat rendah mahupun pendidikan bahasa Arab pada peringkat tinggi. Justeru, buku ini amat sesuai untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada para pendidik, penyelidik dan pelajar bahasa Arab. Hal ini bertepatan dengan tajuk buku yang mencerminkan satu usaha memartabatkan profesionalisme keguruan menerusi cabang inovasi pendidikan. Diharapkan agar buku ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang terlibat dalam lapangan pendidikan bahasa untuk memahami, mendalami dan menyebarluaskan pengetahuan serta penggunaan bahasa Arab di Malaysia.
2) Bahasa Al-Quran: Yang Tersurat Dan Tersirat

Perbincangan mengenai kandungan al-Quran menerusi pelbagai aspek tidak pernah terhenti sejak berzaman. Situasi ini menyerlahkan kehebatan al-Quran yang terus relevan sejak ia diturunkan sehingga penghujung hayat dunia ini. Usaha menggali dan mengkaji khazanah mutiara al-Quran perlu diteruskan agar faedahnya dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. Buku ini mengandungi lapan bab yang menghuraikan topik perbincangan berkaitan linguistik dan balaghah al-Quran. Perbincangan merangkumi aspek berkenaan perkataan dan juga ayat al-Quran. Hal ini menunjukkan kandungan al-Quran itu saling lengkap melengkapi dalam menyerlahkan makna yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Setiap perbincangan memfokus kepada bidang bahasa selain ia semestinya disandarkan kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar dan pandangan para ulama dalam bidang tafsir. Hal ini penting untuk dinyatakan agar fokus utama buku ini dapat dilihat secara jelas iaitu sebagai sebuah bahan bacaan ilmiah yang membincangkan perihal al-i’jaz al-lughawi dalam al-Quran. Penyusunan bab-bab dalam buku ini dibuat secara sistematik iaitu dimulai dengan perbincangan mengenai perkataan, ayat, laras bahasa dalam al-Quran dan diakhiri dengan tajuk balaghah al-Quran. Kesemua tajuk yang terkandung dalam buku ini sesuai untuk dijadikan salah satu bahan bacaan dan rujukan ilmiah sama ada bagi mereka yang berada dalam bidang pengajian bahasa Arab mahupun bidang pengajian Islam. Justeru, diharapkan buku ini dapat membantu para pembacanya dalam memahami tajuk-tajuk yang dibincangkan, selain dapat membuka ruang penerokaan baru bagi tajuk-tajuk lain dalam bidang linguistik dan balaghah al-Quran.
3) Kualiti Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab

Pendidikan Bahasa Arab merupakan salah satu bidang yang mendapat tempat dalam sistem pendidikan, khususnya di Malaysia. Para pelajar daripada segenap peringkat bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi mempunyai peluang untuk mempelajari dan mendalami bahasa Arab. Justeru, pemerkasaan bidang Bahasa Arab perlu dilakukan secara komprehensif agar bahasa ini terus mendapat tempat dalam kalangan penuntut ilmu. Dalam usaha memperkasakan pendidikan bahasa Arab, semua pihak termasuk kementerian, universiti, sekolah, pensyarah, penyelidik, guru, pelajar dan masyarakat awam perlu berganding bahu bagi memastikan hasrat murni ini dapat dicapai. Pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab sentiasa dalam keadaan baik dan mantap. Buku Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab ini memperincikan beberapa perkara penting mengenai kualiti guru, pensyarah atau tenaga pengajar bahasa Arab menerusi pelbagai dimensi. Buku yang mengandungi dua belas bab ini membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan bahasa Arab merentasi pelbagai peringkat sama ada sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Semua saranan yang dikemukakan dalam buku ini wajar diambil perhatian yang serius oleh para pendidik bahasa Arab agar hasrat untuk memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab dapat direalisasikan, selaras dengan tuntutan Islam yang amat mementingkan aspek kualiti terbaik dalam setiap amalan.
4) Penataran Pendidikan Bahasa Arab Di Peringkat Pengajian Tinggi

Bidang Pendidikan Bahasa Arab merupakan antara bidang pengajian penting di Malaysia. Buktinya, subjek bahasa Arab bukan sahaja diajar kepada pelajar di sekolah rendah, malah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Buku ini membincangkan topik berkenaan usaha penataran pendidikan bahasa Arab di Malaysia, khususnya di peringkat pengajian tinggi. Buku ini mengandungi sembilan bab yang disusun secara sistematik bermula daripada perbincangan tentang bahan pengajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta penilaian hasil pembelajaran. Hal inilah yang perlu menjadi fokus semua pihak dalam usaha meningkatkan mutu bidang Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia. Kesemua tajuk yang terkandung dalam buku ini sesuai untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan ilmiah bagi mereka yang berada dalam bidang Pendidikan Bahasa Arab, sama ada daripada kalangan pelajar, pendidik mahupun pengkaji. Justeru, diharapkan buku ini dapat membantu para pembaca dalam memahami semua topik yang dibincangkan, selain dapat membuka ruang penerokaan baharu dalam penyelidikan berkenaan bidang Pendidikan Bahasa Arab. Usaha penambahbaikan mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang dilakukan menerusi penghasilan buku ini akan dapat membantu para pelajar terutama di institusi pengajian tinggi untuk mempelajari, seterusnya menguasai bahasa al-Quran dengan lebih baik.
5) Pendidikan Bahasa Arab Abad Ke-21 Mengadun Kreativiti dan Inovasi

Teknologi telah mengubah landskap bidang pendidikan dengan begitu pesat. Penerapan teknologi dalam pendidikan bukan lagi satu pilihan tetapi ia satu keperluan bagi memastikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berlangsung dengan jayanya tanpa sebarang kekangan. Kepelbagaian aplikasi, perisian dan sistem baharu yang ditawarkan melibatkan pendidikan telah mendorong kepada munculnya cetusan kreativiti dan inovasi dalam kalangan para penyelidik dan pendidik. Kreativiti dan inovasi dalam PdP ini tidak terhad kepada penerapan teknologi semata-mata sebaliknya ia merupakan gabungan penerapan teknologi dan kaedah konvensional yang menjadikan hasil kreativiti dan inovasi lebih istimewa. Ini kerana sentuhan kemanusiaan tidak boleh dikesampingkan dalam arus kemajuan teknologi. Buku ini membincangkan topik berkaitan penerapan kreativiti dan inovasi dalam Pendidikan Bahasa Arab. Buku ini mengandungi sembilan bab yang disusun secara sistematik dengan lima bab pertama memberi fokus kepada kreativiti guru dalam kelas manakala empat bab berikutnya membincangkan elemen inovasi yang diterapkan ketika sesi pembelajaran berlangsung. Kesemua tajuk yang terkandung dalam buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan oleh pelbagai pihak termasuk para pendidik, pelajar dan penyelidik khususnya mereka yang berada dalam bidang Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia. Justeru, buku ini diharapkan dapat dijadikan panduan seterusnya memberi idea yang segar dalam pelaksanaan pembelajaran Bahasa Arab. Di samping itu, buku ini dapat membuka peluang kepada semua pihak untuk meneroka dengan lebih mendalam berkaitan kreativiti dan inovasi berkaitan Pendidikan Bahasa Arab bertepatan dengan keperluan era digital pada abad ke-21.
6) Pentaksiran Alternatif Bahasa Arab Amalan Di Institusi Pengajian Tinggi

Dalam dunia pendidikan abad ke-21 yang semakin dipacu oleh teknologi digital, pendekatan terhadap penilaian pembelajaran juga perlu berubah dan berinovasi. Pentaksiran bukan lagi sekadar ujian dan peperiksaan tradisional, tetapi perlu lebih autentik, fleksibel dan bermakna, selari dengan keperluan pelajar masa kini. Buku ini menawarkan panduan praktikal berasaskan kajian terkini tentang pentaksiran alternatif. Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah bentuk pentaksiran berasaskan pembentangan, aktiviti lakon semula, pertandingan debat, ujian kosa kata, penulisan teks dialog sehinggalah kepada pentaksiran berasaskan digital seperti e-poster, gamifikasi, video, pembelajaran berasaskan blog dan YouTube, serta projek tugasan menggunakan aplikasi digital. Di samping itu, buku ini turut berkongsi bentuk rubrik penilaian yang datang daripada kreativiti pengajar. Dengan pendekatan yang mesra pembaca dan disokong oleh contoh-contoh amali, buku ini membantu pendidik merancang, melaksana, dan menilai pembelajaran dengan lebih berkesan. Ia sesuai untuk guru sekolah, pensyarah, pelajar pendidikan, dan penyelidik untuk semua bidang dan peringkat pendidikan yang ingin memperkasa proses penilaian melalui tugasan dan teknologi. Buku ini membantu pendidik memahami kepelbagaian bentuk pentaksiran yang boleh disesuaikan mengikut subjek dan konteks PdP. Ia juga membekalkan idea-idea segar dan inovatif untuk melaksanakan penilaian yang benar-benar mencerminkan potensi sebenar pelajar. Transformasikan cara anda menilai. Gunakan teknologi secara bijak. Pastikan setiap pentaksiran memberi impak kepada pembelajaran. Ingin mencari inspirasi untuk bentuk pentaksiran baharu? Ingin tahu cara gunakan teknologi untuk menilai pelajar? Buku ini jawapannya. Baca dan variasikan penilaian anda hari ini!