b) Penghasilan Modul PdP

Penghasilan modul PdP merupakan satu pendekatan penting dalam memastikan pembelajaran berlaku secara tersusun dan berfokus. Modul ini dibangunkan berdasarkan hasil pembelajaran kursus (CLO), keperluan silibus, dan tahap penguasaan pelajar. Setiap modul mengandungi objektif pembelajaran, isi kandungan utama, aktiviti latihan, penilaian kendiri, dan bahan sokongan tambahan.

Modul yang sistematik membantu pelajar mengikuti proses pembelajaran secara lebih terarah, meningkatkan pembelajaran kendiri, dan memudahkan pensyarah dalam penyampaian kandungan kursus. Ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk membuat ulang kaji secara lebih efektif dan konsisten.

Antara modul PdP yang saya hasilkan bersama rakan-rakan pensyarah dari Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA, ialah:

  • Al-Itqan fi Ta’alum Lughah Al-Quran

Buku Al-Itqan

Buku ini dihasilkan untuk memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab bagi pelajar peringkat diploma di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Kandungan buku ini meliputi tajuk-tajuk yang bersesuaian dengan pelajar yang mempunyai ilmu asas bahasa Arab. Penyediaan dan penyusunan kandungan buku ini dibuat berdasarkan konsep asas pembelajaran bahasa Arab bagi pelajar daripada kalangan bukan penutur jati khususnya dalam konteks Malaysia. Justeru, kosa kata dan ayat yang dimuatkan dalam buku ini turut meraikan konteks pembelajaran bahasa Arab di Malaysia. Empat kemahiran berbahasa yang merupakan asas utama dalam pembelajaran bahasa diberi fokus yang signifikan dalam buku ini meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Buku ini mengandungi lima bab utama dengan setiap bab pula terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian pembelajaran teks dan juga bahagian tatabahasa Arab. Selain itu, bahagian khas melibatkan aktiviti bahasa juga dimuatkan pada akhir setiap bab. Kandungan buku ini juga memuatkan pemanfaatan ayat-ayat al-Quran dan hadis sesuai dengan antara tujuan pembelajaran bahasa Arab iaitu untuk memahami nas-nas berkenaan dengan Islam. Meskipun fokus buku ini ialah kepada pelajar peringkat diploma di UniSZA, namun ia juga amat sesuai untuk dijadikan rujukan kepada sesiapa sahaja yang meminati dan mempelajari bahasa Arab.


  • Al-Mufid Fi Ta'allum al-Lughah al-'Arabiyyah

Buku Al-Mufid

Buku ini disajikan khas kepada pelajar Diploma Pengajaran Bahasa Ingeris sebagai Bahasa kedua Universiti Sultan Zainal Abidin dan secara umum kepada sesiapa yang berminat mempelajari bahasa Arab. Buku ini juga digunakan bagi pelajar yang mengambil kursus Bahasa Arab (ASP) daripada kalangan pelajar Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dengan Dakwah (Kepujian). Tujuan utama penghasilan buku ini adalah untuk pelajar mempelajari empat kemahiran bahasa yang asas iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Buku ini mengandungi lima unit yang merangkumi perbualan, petikan, tatabahasa dan latihan. Teks bacaan memfokuskan kepada lima isu: kehidupan di universiti, interaksi yang baik, hobi, adab-adab menuntut ilmu dan pembelajaran elektronik. Keistimewaan buku ini terletak pada pemberian erti perkataan bagi setiap teks bacaan, latihan perterjemahan perkataan daripada bahasa Arab ke bahasa Inggeris dan penyelesaian aktiviti dan permainan bahasa yang menarik. Buku ini amat sesuai untuk kegunaan pelajar yang ingin menguasai kemahiran berbahasa Arab kerana kandungannya yang memberi fokus kepada tahap asas bagi pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing.


  • Al-Lughah Al-Arabiyyah Li Al-Mubtadi'in

Terkini, saya bersama dua lagi penulis telah berjaya menghasilkan sebuah modul PdP Bahasa Arab yang direka khusus bagi pelajar Bukan Muslim yang mengambil kursus Bahasa Arab Kebangsaan (PBI10302) sebagai kursus bahasa asing di UniSZA. Penghasilan buku modul ini adalah hasil daripada penyelidikan Geran Dalaman Universiti (DPU 1.0) bertajuk "Pembinaan Modul Interaktif Pembelajaran Bahasa Arab Peringkat Asas Bagi Pelajar Bukan Muslim".

BUKU MODUL 1

BUKU MODUL 2

Modul PdP Terbaharu Berjudul "Al-Lughah Al-'Arabiyyah Li Al-Mubtadi'in" Menggunakan Pendekatan Animasi Karikatur