1. Penambahbaikan Kaedah Pengajaran, Penyeliaan dan Penilaian Melalui Amalan Reflektif

Penambahbaikan berterusan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) serta pembangunan profesional merupakan komponen penting dalam memastikan kualiti pendidikan sentiasa relevan, berkesan, dan berimpak tinggi. Dalam konteks ini, saya mengamalkan pendekatan sistematik yang berteraskan refleksi kendiri, analisis berasaskan data, serta penglibatan aktif dalam pembangunan profesional sepanjang kerjaya akademik.

Pendidik Mestilah Memiliki Sifat Terpuji Sesuai Dengan Status Sebagai Murabbi
Amalan reflektif menjadi asas utama dalam usaha menilai dan menambah baik keberkesanan PdP, penyeliaan, dan penilaian. Proses ini dilaksanakan secara berterusan melalui beberapa pendekatan utama:
i. Dokumentasi Refleksi
Saya merekodkan refleksi pengajaran dan penyeliaan secara sistematik selepas setiap sesi kuliah, tutorial, serta sesi penyeliaan. Dokumentasi ini merangkumi aspek kekuatan dan kelemahan penyampaian, tahap penglibatan pelajar, keberkesanan bahan pengajaran, serta maklum balas pelajar. Rekod ini menjadi rujukan penting dalam menilai keberkesanan PdP secara menyeluruh.

Catatan Refleksi Pelajar Diperoleh Secara Berkala Untuk Tujuan Penambahbaikan PdP

Maklum Balas Seorang Pelajar Kursus Kokurikulum Berkaitan PdP Yang Dijalankan

Perjumpaan Bersama Pelajar Berkeperluan Khusus Bagi Mendapat Maklum Balas PdP

Pengajar Perlu Sentiasa Memberi Maklum Balas Secara Konstruktif Kepada Pelajar Dalam PdP
ii. Analisis dan Sintesis untuk Penambahbaikan
Maklumat yang diperoleh daripada refleksi, penilaian pelajar, serta pencapaian akademik dianalisis secara kritis bagi mengenal pasti pola, isu, dan keperluan penambahbaikan. Proses sintesis dilakukan dengan menggabungkan dapatan refleksi dengan teori pedagogi semasa serta amalan terbaik dalam pendidikan. Pendekatan ini membolehkan penambahbaikan dilakukan secara berasaskan bukti (evidence-based) dan lebih tersasar kepada keperluan sebenar pelajar.

Diskusi Bersama Profesor Pelawat Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Prof. Dr. Muassomah
Dari Universitas Islam Negeri Maulana Malik Ibrahim Malang Bagi Tujuan Penambahbaikan PdP

Temu Bual Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan
Mengenai Hala Tuju Pendidikan Bahasa Arab Peringkat Pengajian Tinggi

Perbincangan Bersama Rakan Sejabatan Bagi Menangani Isu PdP
Bahasa Arab Serta Menghasilkan Modul Pembelajaran
iii. Tindakan dan Perkongsian
Hasil analisis diterjemahkan dalam bentuk tindakan penambahbaikan seperti pengubahsuaian kaedah pengajaran, penambahbaikan bahan pembelajaran, inovasi dalam pentaksiran, serta pendekatan penyeliaan yang lebih efektif. Selain itu, amalan dan dapatan ini turut dikongsikan dengan rakan akademik melalui bengkel, seminar, dan komuniti pembelajaran. Perkongsian ini membantu memperluas impak amalan baik serta menyumbang kepada peningkatan kualiti PdP di peringkat institusi dan lebih luas.
Antara penambahbaikan dalam proses PdP ialah:
1) Collaborative teaching merupakan pendekatan pengajaran yang melibatkan kerjasama dua atau lebih pensyarah dalam merancang, melaksana, dan menilai proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Pendekatan ini dilihat sebagai satu strategi yang efektif dalam meningkatkan kualiti PdP kerana ia menggabungkan kepelbagaian kepakaran, pengalaman, dan perspektif pedagogi bagi menghasilkan pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh dan bermakna. Dalam konteks pengajaran kursus Kritikan Karya Sastera Arab (BAA43303), pendekatan Collaborative teaching pernah dilaksanakan dengan menjemput Dr. Zulhelmi pensyarah, Fakultas Adab dan Humaniora, Universitas Islam Negeri, Ar-Raniry, Indonesia untuk menyampaikan kuliah kepada pelajar.

Collaborative Teaching Bagi Kursus Kritikan Karya Sastera Arab (BAA43303)
2) Pelaksanaan kajian tindakan bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam PdP. Geran SoTL (Scholarship of Teaching and Learning) menggalakkan budaya refleksi profesional dalam kalangan akademik dengan menjadikan bilik kuliah sebagai ruang penyelidikan pedagogi. Melalui proses ini, saya dapat menilai keberkesanan pendekatan pengajaran secara berterusan, menyesuaikan strategi berdasarkan keperluan pelajar, dan memperkukuh kualiti penyeliaan serta pentaksiran.

Penerima Geran SoTL Bagi Kajian Meningkatkan Kemahiran Menulis Ayat Kritikan Bahasa Arab
3) Penyertaan pelajar dalam pertandingan inovasi. Langkah ini dapat memberi nilai tambah dalam proses PdP dalam kelas dengan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai aspek aplikasi dalam pembelajaran. Berdasarkan refleksi yang dilakukan, kumpulan inovasi pelajar ini berupaya meningkatkan kualiti produk daripada meraih Pingat Gangsa kepada Pingat Emas dalam pertandingan inovasi.

Produk i-Maharat Memenangi Pingat Emas Dalam Virtual Innovation Competition (VIC 2025)

Produk i-Maharat Memenangi Pingat Gangsa Dalam Malaysia Invention and Innovation Expo (MIIX 2025)
4) Penganjuran aktiviti melibatkan pembelajaran secara praktikal akan memberi nilai tambah kepada pelajar untuk menguasai topik pembelajaran dengan lebih baik. Berbanding dengan hanya berfokus kepada kuliah semata-mata, sesi pembelajaran secara praktikal menerusi aktiviti inovasi dalam pembelajaran sangat membantu pelajar untuk menambah baik pengetahuan mereka serta menyerlahkan idea yang bernas dalam pemanfaatan ilmu. Komentar penambahbaikan juga dapat disampaikan secara langsung kepada pelajar semasa pelaksanaan program.



Program Inovasi Dalam Kumpulan Merupakan Antara Medium Pembelajaran Secara Praktikal
5) Program Mentor-Mentee merupakan antara platform terbaik untuk membantu pelajar dalam usaha meningkatkan tahap penguasaan mereka terhadap bidang pengajian. Menerusi program Mentor-Mentee, saya mengatur beberapa aktiviti untuk membantu pelajar agar dapat menambah baik penguasaan mereka terhadap Bahasa Arab. Kaedah pembelajaran berbantukan rakan sebaya juga dapat diwujudkan bagi tujuan membantu pelajar yang lemah dalam pengajian. Dengan kata lain, pelajar yang cemerlang dapat memberi tunjuk ajar kepada pelajar yang lemah dalam kumpulan Mentor-Mentee dengan kerjasama dan bantuan pensyarah sebagai Mentor.

Pertemuan Bersama Pelajar Dalam Program Mentor-Mentee Perdana FBK
6) Bagi aspek penyeliaan siswazah, saya bersama rakan penulis ada menerbitkan sebuah buku motivasi pengajian siswazah bertajuk "Bukan Sekadar Tesis: Kembara Jiwa Dalam Dunia Ilmu" yang bakal berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2026). Buku ini merupakan sebuah tulisan yang bertujuan memberi motivasi kepada para pelajar siswazah yang sedang menyiapkan kajian Master dan Doktor Falsafah, khususnya dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Arab.

Ramai yang berhasrat atau bercita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi. Sesetengah mereka yang berjaya memasuki gerbang pengajian pascasiswazah, kerap mendapati kegembiraan awal itu boleh bertukar kepada situasi kebingungan, penyesalan atau kemarahan. Sesetengah yang lain pula berjaya menamatkan pengajian, tetapi sumbangan keilmuan yang signifikan daripada mereka selepas itu tidak kedengaran. Kemunculan buku ‘Bukan Sekadar Tesis: Kembara Jiwa dalam Dunia Ilmu’ ini boleh menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan dan memberi pandangan terhadap isu yang dibangkitkan. Buku ini menghimpunkan cebisan pengalaman yang digabungkan dengan catatan akademik oleh sekumpulan pengarang semasa menempuhi pengembaraan pengajian pascasiswazah. Cantuman pengalaman ini berjaya mengungkap satu pendirian yang tegas bahawa pengajian siswazah bukan sekadar penghasilan tesis atau disertasi, tetapi proses pembentukan insan.
‘Bukan Sekadar Tesis’ menolak pandangan yang memaknakan PhD sebagai hasil semata-mata. Sebaliknya menegaskan bahawa perjalanan pengajian siswazah bakal menguji nilai, membentuk disiplin, dan mematangkan jiwa seorang ilmuwan. Metafora ‘Kembara Jiwa’ menyentuh dimensi dalaman mengenai pencarian makna, pergelutan dan transformasi diri. Manakala ‘Dunia Ilmu’ memagari naratif dalam kerangka akademik yang berwibawa dan berkredibiliti. Di sinilah letaknya keunikan buku ini apabila aspek estetika dan metodologi bertemu sehingga menghasilkan refleksi yang menggetarkan perasaan, namun tetap berpaut pada etika penyelidikan dan keteguhan intelektual. Ia berjaya mengetengahkan bahawa PhD ialah medan pemerkasaan keintelektualan, pengasuhan nilai, pembangunan diri, pemaknaan hubungan insan, dan pengukuhan hubungan dengan Tuhan. Karya ini mempunyai kekuatan untuk mengajak pembaca melihat ilmu bukan sekadar pencapaian, tetapi sebagai jalan pembentukan diri yang menyeluruh. Oleh itu, buku ini sesuai untuk ditelaah oleh mereka yang akan, sedang atau pernah berada dalam dunia penyelidikan. Ia juga sesuai buat sesiapa yang percaya bahawa ilmu bukan sekadar untuk difahami, malah untuk membentuk manusia dan mendekatkan diri kepada Yang Maha Mengetahui.

Bersama Sebahagian Pelajar Kelas Kokurikulum, Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP), UniSZA