Pembelajaran Melalui Perkhidmatan (Service-Learning) di Masjid dan Surau

“Pembelajaran Melalui Perkhidmatan” merupakan pendekatan PdP yang mengintegrasikan ilmu akademik dengan khidmat kepada masyarakat secara terancang dan reflektif. Dalam konteks pengajaran di masjid dan surau, pendekatan ini menjadi platform yang signifikan untuk memindahkan ilmu daripada bilik kuliah kepada komuniti, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat.

Usaha mengajar masyarakat di masjid dan surau memperlihatkan komitmen sebagai agen penyebaran ilmu (knowledge transfer). Pensyarah bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu di universiti, tetapi juga sebagai pendidik masyarakat yang menyumbang kepada peningkatan kefahaman agama dan bahasa dalam kalangan komuniti. Ini selaras dengan konsep ilmu yang bersifat nafi’ (memberi manfaat), iaitu ilmu yang memberi kesan positif kepada orang lain.

SABDA RASULULLAH

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain." (Hadis riwayat at-Tabrani)


Pendekatan ini secara jelas mencerminkan elemen pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning). Penglibatan berterusan dalam aktiviti pengajaran komuniti menunjukkan bahawa proses pembelajaran tidak terhenti dalam ruang formal universiti, tetapi berlanjutan sepanjang kehidupan. Pensyarah dan pelajar sentiasa memperbaharui ilmu, menyesuaikan pendekatan pengajaran, serta belajar daripada interaksi dengan masyarakat yang pelbagai pengalaman. Pada masa yang sama, masyarakat yang terlibat juga menjadi sebahagian daripada ekosistem pembelajaran sepanjang hayat, di mana mereka berpeluang menimba ilmu secara berterusan tanpa mengira usia dan latar belakang.

“Pembelajaran Melalui Perkhidmatan” melalui pengajaran di masjid dan surau mencerminkan komitmen berterusan dalam menghubungkan ilmu dengan amalan serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh PdP, malah menzahirkan peranan pendidik sebagai agen perubahan sosial yang mendukung prinsip pembelajaran sepanjang hayat dan penyebaran ilmu yang bermanfaat.

Dalam konteks ini, saya terlibat menyampaikan ilmu kepada kelompok masyarakat dengan menerima jemputan sebagai penyampai kuliah di beberapa buah masjid dan surau sekitar daerah, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

MASJID WAKAF TEMBESU

Kuliah Maghrib Di Masjid Wakaf Tembesu "Keindahan Bahasa Al-Qur'an"

MASJID KAMSUHAYA

Kuliah Maghrib Di Masjid Kampung Surau Haji Yaakob "1000 Sunnah Rasulullah Sehari Semalam"

MASJID NUR BAKTI

Kuliah Maghrib Di Masjid Nur Bakti, Wakaf Baru "40 Hadis Penawar Hati"

MASJID KG GONG PAK JIN

Kuliah Maghrib Di Masjid Kampung Gong Pak Jin "Kitab Al-Asma' Al-Husna"

MASJID KG PAK MADAH

Kuliah Maghrib Di Masjid Kampung Pak Madah "40 Hadis Imam Nawawi"

MASJID UNISZA

Tazkirah Jumaat Di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

MASJID SEBERANG TAKIR

Tazkirah Jumaat Di Masjid Kampung Seberang Takir

PENGAJIAN DI MASJID

AKADEMI TAHFIZ LIL FAIZIN

KELAS BERSAMA MASYARAKAT

KULIAH MUSLIMAT

Pengajian Di Masjid Dan Pusat Komuniti Menzahirkan Usaha Berterusan Menyampaikan Ilmu Kepada Masyarakat