Penerbitan Buku Bacaan Umum

Sebagai ahli akademik yang bukan sahaja berusaha menyebarkan ilmu dalam kampus, saya berusaha menerbitkan buku bacaan umum untuk masyarakat. Hal ini sebagai satu usaha untuk menyebarkan ilmu kepada komuniti masyarakat. Usaha menyebarkan ilmu seharusnya merentasi pagar universiti kerana akhirnya ilmu perlu digunakan untuk manfaat masyarakat, selaras dengan motto UniSZA iaitu "Ilmu Demi Faedah Insan".

RENUNGAN BUAT PENCINTA SYURGA

"Renungan Buat Pencinta Syurga" Terbitan Karangkraf Sdn. Bhd.


RENUNGAN BUAT PENCINTA SYURGA menggarap pelbagai persoalan penting yang kita mungkin tanpa sengaja melupakannya. Selidiklah diri agar sentiasa tetap pada jalan-Nya. Berusahalah… moga setiap amalan yang kita lakukan, redha Allah jua menjadi jaminan ganjaran. Syurga itu destinasi impian setiap insan yang punya nikmat tidak terhingga. Kenikmatan ini tidak akan mampu dicapai indera… belum pernah dilihat dek mata, tidak pernah didengar dek telinga dan tiada pernah terdetik dek fikiran sesiapa pun. Indahnya syurga hanya layak untuk hamba yang menyerah diri pada-Nya. Mudah-mudahan syurga itu milik kita.


TUHAN RAHMATMU KUHARAPKAN

"Tuhan, Rahmat-Mu Kuharapkan" Terbitan Karangkraf Sdn. Bhd.


TUHAN, RAHMAT-MU KUHARAPKAN menghimpunkan lima puluh artikel yang meliputi tajuk berkenaan hubungan kita dengan Allah swt, hubungan kita dengan Rasulullah saw, dan hubungan kita dengan sesama manusia. Kesemua artikel ini mengupas tajuk-tajuk yang dekat dengan kehidupan seharian kita. Setiap perkongsian dibincangkan secara santai namun memerlukan perhatian yang serius agar ia dapat mengingatkan diri betapa perlunya menjadi insan yang terbaik di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, kita amat mengharapkan rahmat daripada Allah swt. Mudah-mudahan setiap amal kebaikan yang kita lakukan dengan mengambil kira hubungan kita dengan Allah swt, Rasul-Nya dan sesama manusia, kesemuanya bakal membuka pintu rahmat Tuhan yang seluas-luasnya buat kita semua.