Lain-Lain
Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi kursus kokurikulum berkredit di peringkat universiti merupakan komponen penting dalam pembangunan holistik pelajar. Kursus ini dirangka bukan sahaja untuk melengkapkan keperluan akademik, tetapi juga untuk membina Kemahiran Insaniah (soft skills) yang kritikal seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, pemikiran kritis, etika, dan keupayaan mengurus diri. Pendekatan PdP dalam kursus kokurikulum ini bersifat lebih fleksibel, kontekstual, dan berorientasikan pengalaman (experiential learning).
PdP bagi kursus ini menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, dengan pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti praktikal. Sebagai contoh, pelajar diberi tanggungjawab merancang dan melaksanakan sesuatu program atau projek, yang secara langsung melatih kemahiran kepimpinan, pengurusan masa, penyelesaian masalah, dan kerja berpasukan.Pendekatan ini menjadikan pembelajaran lebih bermakna kerana pelajar tidak hanya memahami konsep secara teori, tetapi turut mengalami sendiri proses membuat keputusan, berinteraksi dengan pihak berkepentingan, serta menangani cabaran sebenar.
PdP bagi kursus kokurikulum berkredit memainkan peranan strategik dalam melengkapkan pendidikan formal pelajar dengan Kemahiran Insaniah yang diperlukan dalam abad ke-21. Pendekatan yang berasaskan pengalaman, kolaboratif, dan reflektif menjadikan kursus ini sebagai platform penting dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi intelek, emosi, sosial, dan kepimpinan.
Pelaksanaan PdP dalam kursus kokurikulum berkredit memberi impak yang signifikan terhadap pembangunan pelajar secara menyeluruh. Pelajar bukan sahaja memperoleh pengalaman praktikal, malah membina keyakinan diri, daya kepimpinan, dan keupayaan beradaptasi dalam pelbagai situasi.

Kemahiran Insaniah Merupakan Elemen Penting Dalam Kursus Kokurikulum Berkredit
Kemahiran Insaniah yang dibangunkan melalui kursus ini meningkatkan kebolehpasaran graduan serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan kehidupan bermasyarakat. Selain itu, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum juga menyemai nilai tanggungjawab sosial, semangat kesukarelawanan, dan jati diri yang kukuh.
Justeru, saya terlibat secara aktif sebagai pengajar bagi kursus kokurikulum yang ditawarkan di UniSZA yang dikendalikan oleh Pusat Pembangunan Holistik Pelajar (PPHP), UniSZA.
1) KKN10303 - ASAS PENGUCAPAN AWAM
Kursus ini bertujuan untuk membimbing pelajar agar mempunyai keyakinan diri dan berkeupayaan menggunakan teknik yang betul untuk berucap di khalayak ramai di samping mencari idea dan jalan penyelesaian terhadap masalah serta dapat bekerjasama dengan orang lain. Elemen HIEPs juga turut diterapkan dalam kursus ini melalui pembelajaran berasaskan masyarakat menggunakan kaedah penyampaian secara kerja berkumpulan dan kerja lapangan. Pada akhir kursus ini pelajar mampu membina hubungan baik dan menyumbang kepada komuniti.




Projek Akhir Pelajar Kursus Asas Pengucapan Awam (KKN10303) Di SMK Tun Telanai, Kuala Terengganu
2) KKN11203 - DEBAT BAHASA MELAYU
Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi, berfikir secara kritis, dan pengetahuan dalam Bahasa Melayu. Latar belakang kursus ini adalah untuk memperkukuhkan keupayaan pelajar dalam berdebat dan memahami isu-isu semasa dalam konteks budaya Melayu. Kursus ini merangkumi topik-topik seperti teknik berdebat, analisis isu, dan penggunaan bahasa formal. Penyampaian kursus melibatkan sesi kuliah, latihan debat, serta sesi kritikan dan penilaian. Elemen FlexS diterapkan dalam kursus ini menerusi tonggak sahsiah mulia melalui pemupukan minat dan cenderung ke arah sikap hormat dan bekerjasama antara satu sama lain. Pada akhir kursus ini, pelajar dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi, kepercayaan diri, dan kepekaan terhadap isu-isu sosial dan budaya.




Projek Akhir Pelajar Kursus Debat Bahasa Melayu (KKN11203) Melibatkan Pelajar SK Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus
Usaha menulis artikel umum dalam akhbar seperti Berita Harian dan Harian Metro merupakan salah satu medium penting dalam memperluas perkongsian ilmu kepada masyarakat awam secara lebih inklusif dan berimpak. Penulisan artikel ini membolehkan ilmu dan kepakaran akademik yang dibangunkan di universiti diterjemahkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami serta relevan dengan isu semasa masyarakat. Pendekatan ini selari dengan aspirasi “menara gading bersama masyarakat”, iaitu usaha membawa ilmu daripada ruang akademik kepada komuniti secara berterusan melalui wacana ilmiah yang bersifat terbuka dan mendidik. Di samping menyumbang kepada peningkatan literasi ilmu dalam kalangan masyarakat, penulisan di media arus perdana turut membantu meningkatkan keternampakan (visibility) diri sebagai pensyarah yang aktif menyumbang kepakaran kepada masyarakat dan negara. Dalam masa yang sama, penglibatan ini turut memperkukuh imej dan reputasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai institusi yang komited terhadap pemindahan ilmu, keterlibatan komuniti, dan pembangunan masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan. Sehingga kini, saya telah menerbitkan lebih 500 artikel dalam akhbar arus perdana khususnya Berita Harian dan Harian Metro.

Berita Harian, Rabu, 1 Januari 2025, "Pertingkat Amal Sepanjang Masa Tanpa Tunggu Tahun Berganti"

Berita Harian, Jumaat, 17 Januari 2025, "Ubah Hasad Dengki Jadi Ghibtah, Pembakar Semangat Raih Kenikmatan"

Berita Harian, Rabu, 12 Februari 2025, "Rebut Kelebihan Syaaban Tingkat Kualiti Ibadah Ketika Ramadan"

Berita Harian, Rabu, 26 Februari 2025, "Jadikan Hubungan Sesama Manusia Ladang Pahala Sepanjang Ramadan"

Berita Harian, Ahad, 16 Mac 2025, "Al-Quran Jadi Panduan Hidup Hadapi Kehidupan Mencabar"

Berita Harian, Jumaat, 21 Mac 2025, "Jaga Kualiti Puasa, Hindari Perkara Cemari Ramadan"

Berita Harian, Rabu, 26 Mac 2025, "Belum Terlewat Buru, Raih Ganjaran Lailatulqadar"

Berita Harian, Jumaat, 4 April 2025, "Semai Sifat Pemurah Rai Syawal, Istiqamah Amalan Ramadan"

Berita Harian, Jumaat, 18 April 2025, "Didik Anak Sifat Pemurah, Nikmat Bersedekah"

Berita Harian, Ahad, 8 Jun 2025, "Ibadah Korban Bukti Ketaatan, Kesyukuran"
Sebagai ahli akademik yang bukan sahaja berusaha menyebarkan ilmu dalam kampus, saya berusaha menerbitkan buku bacaan umum untuk masyarakat. Hal ini sebagai satu usaha untuk menyebarkan ilmu kepada komuniti masyarakat. Usaha menyebarkan ilmu seharusnya merentasi pagar universiti kerana akhirnya ilmu perlu digunakan untuk manfaat masyarakat, selaras dengan motto UniSZA iaitu "Ilmu Demi Faedah Insan".

"Renungan Buat Pencinta Syurga" Terbitan Karangkraf Sdn. Bhd.
RENUNGAN BUAT PENCINTA SYURGA menggarap pelbagai persoalan penting yang kita mungkin tanpa sengaja melupakannya. Selidiklah diri agar sentiasa tetap pada jalan-Nya. Berusahalah… moga setiap amalan yang kita lakukan, redha Allah jua menjadi jaminan ganjaran. Syurga itu destinasi impian setiap insan yang punya nikmat tidak terhingga. Kenikmatan ini tidak akan mampu dicapai indera… belum pernah dilihat dek mata, tidak pernah didengar dek telinga dan tiada pernah terdetik dek fikiran sesiapa pun. Indahnya syurga hanya layak untuk hamba yang menyerah diri pada-Nya. Mudah-mudahan syurga itu milik kita.

"Tuhan, Rahmat-Mu Kuharapkan" Terbitan Karangkraf Sdn. Bhd.
TUHAN, RAHMAT-MU KUHARAPKAN menghimpunkan lima puluh artikel yang meliputi tajuk berkenaan hubungan kita dengan Allah swt, hubungan kita dengan Rasulullah saw, dan hubungan kita dengan sesama manusia. Kesemua artikel ini mengupas tajuk-tajuk yang dekat dengan kehidupan seharian kita. Setiap perkongsian dibincangkan secara santai namun memerlukan perhatian yang serius agar ia dapat mengingatkan diri betapa perlunya menjadi insan yang terbaik di dunia dan akhirat. Sesungguhnya, kita amat mengharapkan rahmat daripada Allah swt. Mudah-mudahan setiap amal kebaikan yang kita lakukan dengan mengambil kira hubungan kita dengan Allah swt, Rasul-Nya dan sesama manusia, kesemuanya bakal membuka pintu rahmat Tuhan yang seluas-luasnya buat kita semua.
“Pembelajaran Melalui Perkhidmatan” merupakan pendekatan PdP yang mengintegrasikan ilmu akademik dengan khidmat kepada masyarakat secara terancang dan reflektif. Dalam konteks pengajaran di masjid dan surau, pendekatan ini menjadi platform yang signifikan untuk memindahkan ilmu daripada bilik kuliah kepada komuniti, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat.
Usaha mengajar masyarakat di masjid dan surau memperlihatkan komitmen sebagai agen penyebaran ilmu (knowledge transfer). Pensyarah bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu di universiti, tetapi juga sebagai pendidik masyarakat yang menyumbang kepada peningkatan kefahaman agama dan bahasa dalam kalangan komuniti. Ini selaras dengan konsep ilmu yang bersifat nafi’ (memberi manfaat), iaitu ilmu yang memberi kesan positif kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain." (Hadis riwayat at-Tabrani)
Pendekatan ini secara jelas mencerminkan elemen pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning). Penglibatan berterusan dalam aktiviti pengajaran komuniti menunjukkan bahawa proses pembelajaran tidak terhenti dalam ruang formal universiti, tetapi berlanjutan sepanjang kehidupan. Pensyarah dan pelajar sentiasa memperbaharui ilmu, menyesuaikan pendekatan pengajaran, serta belajar daripada interaksi dengan masyarakat yang pelbagai pengalaman. Pada masa yang sama, masyarakat yang terlibat juga menjadi sebahagian daripada ekosistem pembelajaran sepanjang hayat, di mana mereka berpeluang menimba ilmu secara berterusan tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Pembelajaran Melalui Perkhidmatan” melalui pengajaran di masjid dan surau mencerminkan komitmen berterusan dalam menghubungkan ilmu dengan amalan serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat. Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh PdP, malah menzahirkan peranan pendidik sebagai agen perubahan sosial yang mendukung prinsip pembelajaran sepanjang hayat dan penyebaran ilmu yang bermanfaat.
Dalam konteks ini, saya terlibat menyampaikan ilmu kepada kelompok masyarakat dengan menerima jemputan sebagai penyampai kuliah di beberapa buah masjid dan surau sekitar daerah, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Kuliah Maghrib Di Masjid Wakaf Tembesu "Keindahan Bahasa Al-Qur'an"

Kuliah Maghrib Di Masjid Kampung Surau Haji Yaakob "1000 Sunnah Rasulullah Sehari Semalam"

Kuliah Maghrib Di Masjid Nur Bakti, Wakaf Baru "40 Hadis Penawar Hati"

Kuliah Maghrib Di Masjid Kampung Gong Pak Jin "Kitab Al-Asma' Al-Husna"

Kuliah Maghrib Di Masjid Kampung Pak Madah "40 Hadis Imam Nawawi"

Tazkirah Jumaat Di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Tazkirah Jumaat Di Masjid Kampung Seberang Takir




Pengajian Di Masjid Dan Pusat Komuniti Menzahirkan Usaha Berterusan Menyampaikan Ilmu Kepada Masyarakat