Campylobacter: Bakteria Penyebab Keracunan Makanan dan Penyakit Autoimun

Kerap kali muncul di berita dan media sosial kes keracunan makanan yang menyebabkan ramai individu dimasukkan ke hospital. Kejadian keracunan makanan tidak mengenal usia tua mahupun muda. Sesetengah individu hanya menunjukkan gejala yang ringan manakala terdapat segelintir mengalami jangkitan yang teruk sehingga menyebabkan kematian. Kes keracunan makanan sering dikaitkan dengan bakteria Salmonella and Escherichia coli (E. coli). Namun, terdapat satu lagi bakteria yang turut menjadi penyebab utama keracunan makanan, namun tidak dikenali ramai, iaitu Campylobacter. Dalam sesetengah kes jangkitan Campylobacter, ia juga mampu menyebabkan penyakit autoimun dalam pesakit yang telah pulih daripada jangkitan. Penyakit autoimun terjadi apabila sel imun menjadi terlalu aktif sehingga menyerang sel badan yang boleh menyebabkan lumpuh.