Inovasi Pengajaran Dan Pembelajaran

Bagi meningkatkan mutu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), saya sentiasa berusaha melaksanakan inovasi yang bersifat relevan, praktikal, dan berimpak tinggi terhadap pengalaman pembelajaran pelajar. Inovasi ini bukan sahaja bertujuan memperkukuhkan penyampaian ilmu, malah membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih interaktif, fleksibel, dan berpusatkan pelajar. Pendekatan inovatif yang dilaksanakan merangkumi aspek penerbitan akademik, pembangunan bahan pembelajaran, integrasi media massa, penghasilan produk inovasi, penggunaan teknologi pendidikan, serta pendekatan interaktif dalam bilik kuliah.

Proses Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab Memerlukan Sentuhan Inovasi Semasa
Salah satu usaha inovasi dalam PdP ialah melalui penerbitan buku yang berfokus kepada kajian pengajaran dan pembelajaran. Buku ini dihasilkan berdasarkan pengalaman pengajaran, analisis keperluan pelajar, serta penambahbaikan terhadap pendekatan pedagogi yang digunakan dalam bilik kuliah. Kandungan buku merangkumi teori, aplikasi praktikal, cadangan aktiviti pembelajaran, serta refleksi akademik yang dapat dijadikan rujukan oleh pelajar dan pensyarah lain.
Penerbitan ini membantu memperkukuhkan budaya ilmu dan perkongsian amalan terbaik dalam PdP, di samping menjadi sumber rujukan yang lebih sistematik dan berautoriti bagi menyokong proses pembelajaran berterusan. Berikut ialah maklumat penerbitan buku berkaitan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab.

Penerima Anugerah Akademik Universiti (AAU 2024)
Anugerah Penerbitan Buku (Kategori Sains Sosial & Kemanusiaan)
1) Dinamika Pendidikan Bahasa Arab: Menelusuri Inovasi Profesionalisme Keguruan

Buku ini mengandungi lapan bab yang menghuraikan topik perbincangan berkaitan pendidikan bahasa Arab sebagai bahasa asing atau bahasa kedua. Perbincangan menyentuh secara khusus beberapa kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang membuka satu dimensi baru ke arah pelestarian inovasi dalam bidang ini. Pemanfaatan teknologi dalam pendidikan bahasa Arab dapat membantu para pendidik untuk menyemai budaya belajar secara kendiri dalam diri pelajar, selain ia memperlihatkan perkembangan dunia pendidikan bahasa Arab yang seiring dengan perkembangan pendidikan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Penyusunan bab-bab dalam buku ini dibuat secara sistematik iaitu dimulai dengan tajuk-tajuk berkaitan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab, dan diakhiri dengan tajuk-tajuk yang melibatkan perbincangan tentang petaksiran dan penilaian. Kesemua tajuk yang terkandung dalam buku ini adalah relevan dengan bidang pendidikan di semua peringkat, sama ada peringkat rendah mahupun pendidikan bahasa Arab pada peringkat tinggi. Justeru, buku ini amat sesuai untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada para pendidik, penyelidik dan pelajar bahasa Arab. Hal ini bertepatan dengan tajuk buku yang mencerminkan satu usaha memartabatkan profesionalisme keguruan menerusi cabang inovasi pendidikan. Diharapkan agar buku ini dapat memberi manfaat kepada mereka yang terlibat dalam lapangan pendidikan bahasa untuk memahami, mendalami dan menyebarluaskan pengetahuan serta penggunaan bahasa Arab di Malaysia.
2) Bahasa Al-Quran: Yang Tersurat Dan Tersirat

Perbincangan mengenai kandungan al-Quran menerusi pelbagai aspek tidak pernah terhenti sejak berzaman. Situasi ini menyerlahkan kehebatan al-Quran yang terus relevan sejak ia diturunkan sehingga penghujung hayat dunia ini. Usaha menggali dan mengkaji khazanah mutiara al-Quran perlu diteruskan agar faedahnya dapat dimanfaatkan oleh semua pihak. Buku ini mengandungi lapan bab yang menghuraikan topik perbincangan berkaitan linguistik dan balaghah al-Quran. Perbincangan merangkumi aspek berkenaan perkataan dan juga ayat al-Quran. Hal ini menunjukkan kandungan al-Quran itu saling lengkap melengkapi dalam menyerlahkan makna yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Setiap perbincangan memfokus kepada bidang bahasa selain ia semestinya disandarkan kepada kitab-kitab tafsir yang muktabar dan pandangan para ulama dalam bidang tafsir. Hal ini penting untuk dinyatakan agar fokus utama buku ini dapat dilihat secara jelas iaitu sebagai sebuah bahan bacaan ilmiah yang membincangkan perihal al-i’jaz al-lughawi dalam al-Quran. Penyusunan bab-bab dalam buku ini dibuat secara sistematik iaitu dimulai dengan perbincangan mengenai perkataan, ayat, laras bahasa dalam al-Quran dan diakhiri dengan tajuk balaghah al-Quran. Kesemua tajuk yang terkandung dalam buku ini sesuai untuk dijadikan salah satu bahan bacaan dan rujukan ilmiah sama ada bagi mereka yang berada dalam bidang pengajian bahasa Arab mahupun bidang pengajian Islam. Justeru, diharapkan buku ini dapat membantu para pembacanya dalam memahami tajuk-tajuk yang dibincangkan, selain dapat membuka ruang penerokaan baru bagi tajuk-tajuk lain dalam bidang linguistik dan balaghah al-Quran.
3) Kualiti Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Arab

Pendidikan Bahasa Arab merupakan salah satu bidang yang mendapat tempat dalam sistem pendidikan, khususnya di Malaysia. Para pelajar daripada segenap peringkat bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi mempunyai peluang untuk mempelajari dan mendalami bahasa Arab. Justeru, pemerkasaan bidang Bahasa Arab perlu dilakukan secara komprehensif agar bahasa ini terus mendapat tempat dalam kalangan penuntut ilmu. Dalam usaha memperkasakan pendidikan bahasa Arab, semua pihak termasuk kementerian, universiti, sekolah, pensyarah, penyelidik, guru, pelajar dan masyarakat awam perlu berganding bahu bagi memastikan hasrat murni ini dapat dicapai. Pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab sentiasa dalam keadaan baik dan mantap. Buku Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab ini memperincikan beberapa perkara penting mengenai kualiti guru, pensyarah atau tenaga pengajar bahasa Arab menerusi pelbagai dimensi. Buku yang mengandungi dua belas bab ini membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan bahasa Arab merentasi pelbagai peringkat sama ada sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Semua saranan yang dikemukakan dalam buku ini wajar diambil perhatian yang serius oleh para pendidik bahasa Arab agar hasrat untuk memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab dapat direalisasikan, selaras dengan tuntutan Islam yang amat mementingkan aspek kualiti terbaik dalam setiap amalan.
4) Penataran Pendidikan Bahasa Arab Di Peringkat Pengajian Tinggi

Bidang Pendidikan Bahasa Arab merupakan antara bidang pengajian penting di Malaysia. Buktinya, subjek bahasa Arab bukan sahaja diajar kepada pelajar di sekolah rendah, malah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Buku ini membincangkan topik berkenaan usaha penataran pendidikan bahasa Arab di Malaysia, khususnya di peringkat pengajian tinggi. Buku ini mengandungi sembilan bab yang disusun secara sistematik bermula daripada perbincangan tentang bahan pengajaran, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta penilaian hasil pembelajaran. Hal inilah yang perlu menjadi fokus semua pihak dalam usaha meningkatkan mutu bidang Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia. Kesemua tajuk yang terkandung dalam buku ini sesuai untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukan ilmiah bagi mereka yang berada dalam bidang Pendidikan Bahasa Arab, sama ada daripada kalangan pelajar, pendidik mahupun pengkaji. Justeru, diharapkan buku ini dapat membantu para pembaca dalam memahami semua topik yang dibincangkan, selain dapat membuka ruang penerokaan baharu dalam penyelidikan berkenaan bidang Pendidikan Bahasa Arab. Usaha penambahbaikan mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab yang dilakukan menerusi penghasilan buku ini akan dapat membantu para pelajar terutama di institusi pengajian tinggi untuk mempelajari, seterusnya menguasai bahasa al-Quran dengan lebih baik.
5) Pendidikan Bahasa Arab Abad Ke-21 Mengadun Kreativiti dan Inovasi

Teknologi telah mengubah landskap bidang pendidikan dengan begitu pesat. Penerapan teknologi dalam pendidikan bukan lagi satu pilihan tetapi ia satu keperluan bagi memastikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) berlangsung dengan jayanya tanpa sebarang kekangan. Kepelbagaian aplikasi, perisian dan sistem baharu yang ditawarkan melibatkan pendidikan telah mendorong kepada munculnya cetusan kreativiti dan inovasi dalam kalangan para penyelidik dan pendidik. Kreativiti dan inovasi dalam PdP ini tidak terhad kepada penerapan teknologi semata-mata sebaliknya ia merupakan gabungan penerapan teknologi dan kaedah konvensional yang menjadikan hasil kreativiti dan inovasi lebih istimewa. Ini kerana sentuhan kemanusiaan tidak boleh dikesampingkan dalam arus kemajuan teknologi. Buku ini membincangkan topik berkaitan penerapan kreativiti dan inovasi dalam Pendidikan Bahasa Arab. Buku ini mengandungi sembilan bab yang disusun secara sistematik dengan lima bab pertama memberi fokus kepada kreativiti guru dalam kelas manakala empat bab berikutnya membincangkan elemen inovasi yang diterapkan ketika sesi pembelajaran berlangsung. Kesemua tajuk yang terkandung dalam buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan oleh pelbagai pihak termasuk para pendidik, pelajar dan penyelidik khususnya mereka yang berada dalam bidang Pendidikan Bahasa Arab di Malaysia. Justeru, buku ini diharapkan dapat dijadikan panduan seterusnya memberi idea yang segar dalam pelaksanaan pembelajaran Bahasa Arab. Di samping itu, buku ini dapat membuka peluang kepada semua pihak untuk meneroka dengan lebih mendalam berkaitan kreativiti dan inovasi berkaitan Pendidikan Bahasa Arab bertepatan dengan keperluan era digital pada abad ke-21.
6) Pentaksiran Alternatif Bahasa Arab Amalan Di Institusi Pengajian Tinggi

Dalam dunia pendidikan abad ke-21 yang semakin dipacu oleh teknologi digital, pendekatan terhadap penilaian pembelajaran juga perlu berubah dan berinovasi. Pentaksiran bukan lagi sekadar ujian dan peperiksaan tradisional, tetapi perlu lebih autentik, fleksibel dan bermakna, selari dengan keperluan pelajar masa kini. Buku ini menawarkan panduan praktikal berasaskan kajian terkini tentang pentaksiran alternatif. Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah bentuk pentaksiran berasaskan pembentangan, aktiviti lakon semula, pertandingan debat, ujian kosa kata, penulisan teks dialog sehinggalah kepada pentaksiran berasaskan digital seperti e-poster, gamifikasi, video, pembelajaran berasaskan blog dan YouTube, serta projek tugasan menggunakan aplikasi digital. Di samping itu, buku ini turut berkongsi bentuk rubrik penilaian yang datang daripada kreativiti pengajar. Dengan pendekatan yang mesra pembaca dan disokong oleh contoh-contoh amali, buku ini membantu pendidik merancang, melaksana, dan menilai pembelajaran dengan lebih berkesan. Ia sesuai untuk guru sekolah, pensyarah, pelajar pendidikan, dan penyelidik untuk semua bidang dan peringkat pendidikan yang ingin memperkasa proses penilaian melalui tugasan dan teknologi. Buku ini membantu pendidik memahami kepelbagaian bentuk pentaksiran yang boleh disesuaikan mengikut subjek dan konteks PdP. Ia juga membekalkan idea-idea segar dan inovatif untuk melaksanakan penilaian yang benar-benar mencerminkan potensi sebenar pelajar. Transformasikan cara anda menilai. Gunakan teknologi secara bijak. Pastikan setiap pentaksiran memberi impak kepada pembelajaran. Ingin mencari inspirasi untuk bentuk pentaksiran baharu? Ingin tahu cara gunakan teknologi untuk menilai pelajar? Buku ini jawapannya. Baca dan variasikan penilaian anda hari ini!
Penghasilan modul PdP merupakan satu pendekatan penting dalam memastikan pembelajaran berlaku secara tersusun dan berfokus. Modul ini dibangunkan berdasarkan hasil pembelajaran kursus (CLO), keperluan silibus, dan tahap penguasaan pelajar. Setiap modul mengandungi objektif pembelajaran, isi kandungan utama, aktiviti latihan, penilaian kendiri, dan bahan sokongan tambahan.
Modul yang sistematik membantu pelajar mengikuti proses pembelajaran secara lebih terarah, meningkatkan pembelajaran kendiri, dan memudahkan pensyarah dalam penyampaian kandungan kursus. Ia juga memberi peluang kepada pelajar untuk membuat ulang kaji secara lebih efektif dan konsisten.
Antara modul PdP yang saya hasilkan bersama rakan-rakan pensyarah dari Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA, ialah:
Al-Itqan fi Ta’alum Lughah Al-Quran

Buku ini dihasilkan untuk memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab bagi pelajar peringkat diploma di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Kandungan buku ini meliputi tajuk-tajuk yang bersesuaian dengan pelajar yang mempunyai ilmu asas bahasa Arab. Penyediaan dan penyusunan kandungan buku ini dibuat berdasarkan konsep asas pembelajaran bahasa Arab bagi pelajar daripada kalangan bukan penutur jati khususnya dalam konteks Malaysia. Justeru, kosa kata dan ayat yang dimuatkan dalam buku ini turut meraikan konteks pembelajaran bahasa Arab di Malaysia. Empat kemahiran berbahasa yang merupakan asas utama dalam pembelajaran bahasa diberi fokus yang signifikan dalam buku ini meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Buku ini mengandungi lima bab utama dengan setiap bab pula terdiri daripada dua bahagian, iaitu bahagian pembelajaran teks dan juga bahagian tatabahasa Arab. Selain itu, bahagian khas melibatkan aktiviti bahasa juga dimuatkan pada akhir setiap bab. Kandungan buku ini juga memuatkan pemanfaatan ayat-ayat al-Quran dan hadis sesuai dengan antara tujuan pembelajaran bahasa Arab iaitu untuk memahami nas-nas berkenaan dengan Islam. Meskipun fokus buku ini ialah kepada pelajar peringkat diploma di UniSZA, namun ia juga amat sesuai untuk dijadikan rujukan kepada sesiapa sahaja yang meminati dan mempelajari bahasa Arab.
Al-Mufid Fi Ta'allum al-Lughah al-'Arabiyyah

Buku ini disajikan khas kepada pelajar Diploma Pengajaran Bahasa Ingeris sebagai Bahasa kedua Universiti Sultan Zainal Abidin dan secara umum kepada sesiapa yang berminat mempelajari bahasa Arab. Buku ini juga digunakan bagi pelajar yang mengambil kursus Bahasa Arab (ASP) daripada kalangan pelajar Sarjana Muda Sains Sosial Antropologi Dengan Dakwah (Kepujian). Tujuan utama penghasilan buku ini adalah untuk pelajar mempelajari empat kemahiran bahasa yang asas iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Buku ini mengandungi lima unit yang merangkumi perbualan, petikan, tatabahasa dan latihan. Teks bacaan memfokuskan kepada lima isu: kehidupan di universiti, interaksi yang baik, hobi, adab-adab menuntut ilmu dan pembelajaran elektronik. Keistimewaan buku ini terletak pada pemberian erti perkataan bagi setiap teks bacaan, latihan perterjemahan perkataan daripada bahasa Arab ke bahasa Inggeris dan penyelesaian aktiviti dan permainan bahasa yang menarik. Buku ini amat sesuai untuk kegunaan pelajar yang ingin menguasai kemahiran berbahasa Arab kerana kandungannya yang memberi fokus kepada tahap asas bagi pembelajaran bahasa Arab sebagai bahasa asing.
Al-Lughah Al-Arabiyyah Li Al-Mubtadi'in
Terkini, saya bersama dua lagi penulis telah berjaya menghasilkan sebuah modul PdP Bahasa Arab yang direka khusus bagi pelajar Bukan Muslim yang mengambil kursus Bahasa Arab Kebangsaan (PBI10302) sebagai kursus bahasa asing di UniSZA. Penghasilan buku modul ini adalah hasil daripada penyelidikan Geran Dalaman Universiti (DPU 1.0) bertajuk "Pembinaan Modul Interaktif Pembelajaran Bahasa Arab Peringkat Asas Bagi Pelajar Bukan Muslim".


Modul PdP Terbaharu Berjudul "Al-Lughah Al-'Arabiyyah Li Al-Mubtadi'in" Menggunakan Pendekatan Animasi Karikatur
Pendekatan pembelajaran melalui media massa digunakan bagi menghubungkan teori akademik dengan realiti semasa dalam masyarakat. Pelajar didedahkan kepada bahan pembelajaran daripada sumber seperti berita semasa, dokumentari, wawancara ilmiah, artikel akhbar, siaran televisyen, podcast, dan kandungan digital yang relevan dengan bidang pengajian.
Kaedah ini membantu pelajar memahami aplikasi ilmu dalam konteks sebenar, meningkatkan kepekaan terhadap isu semasa, serta menggalakkan pemikiran kritis dan analitikal. Pendekatan ini juga menjadikan pembelajaran lebih hidup, kontekstual, dan dekat dengan pengalaman harian pelajar.
Antara usaha yang dilakukan ialah melibatkan pelajar dalam perkongsian ilmu menerusi slot Belajar Bahasa Arab "Al-Arabiyyah Fi Al-Radio" siaran radio Terengganu fm. Pelajar didedahkan kepada suasana perkongsian pengajaran melibatkan media massa.

Slot "Al-Arabiyyah Fi Al-Radio" Setiap Hari Jumaat Pukul 9.15-10.00 Pagi Siaran Radio Terengganu.fm

Penglibatan Pelajar Dalam Slot "Al-Arabiyyah Fi Al-Radio" Siaran Radio Terengganu.fm

Sesi Persediaan Sebelum Bermula Slot "Al-Arabiyyah Fi Al-Radio" Siaran Radio Terengganu.fm

Slot Pengajaran Dan Perkongsian Bersama Pendengar Radio Manis.fm
Saya turut memberi penekanan kepada penghasilan produk inovasi PdP yang mampu meningkatkan keberkesanan pembelajaran. Produk inovasi ini boleh berbentuk bahan bantu mengajar, kit pembelajaran, infografik akademik, video interaktif, aplikasi pembelajaran, atau alat sokongan digital yang direka khusus untuk memudahkan pemahaman pelajar terhadap sesuatu topik.
Penghasilan produk inovasi ini bertujuan menjadikan proses PdP lebih menarik, mudah difahami, dan mampu memenuhi pelbagai gaya pembelajaran pelajar. Selain itu, inovasi ini juga membantu meningkatkan penglibatan aktif pelajar dalam proses pembelajaran.
Saya terlibat sebagai ahli dalam penghasilan produk inovasi berasam rakan penyelidik bagi tujuan meningkatkan mutu PdP Bahasa Arab. Antara produk yang dihasilkan ialah:

Pengalaman Pertama Menyertai Pertandingan Inovasi Pengajaran Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
- EZ-Arabic : Sumber Pembelajaran Bahasa Arab Maya Peringkat Sekolah
Rendah
Produk ini merupakan satu laman prototaip sumber pembelajaran maya yang dikenali sebagai EZ-Arabic, direka khusus untuk pelajar di peringkat sekolah rendah di Malaysia. Inovasi ini dimulakan dengan kajian literatur terhadap tiga teori iaitu work of Nation (2003), Prensky (2001) dan Mayer (2001). Reka bentuk serta pembangunan prototaip ini dilengkapi dengan pembelajaran menerusi permainan komputer (game-based learning). Rekaan dan pembangunan prototaip ini diadaptasi daripada 'design principles' kajian Muhammad Sabri (2011). Kajian tersebut telah dijalankan ke atas para pelajar matrikulasi UIAM yang diberi nama ‘Arabic vocabulary learning games protype’. Ini merupakan kesinambungan daripada pembangunan pembelajaran maya yang membolehkan para pelajar serta guru menggunakannya sebagai sumber bantuan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Prototaip ini merupakan sumber yang berpusat. Ia mengumpul sumber pembelajaran yang terbuka yang boleh di akses atas talian. Produk ini merupakan hasil kajian yang diketuai oleh Dr. Mohd Firdaus bin Yahaya menerusi pendanaan geran Research Acculturation Grant Scheme (RAGS) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).


Memenangi Pingat Emas Bagi Produk "EZ-Arabic Mobile App"
- MODUL iGQA: Infografik Pembelajaran Tatabahasa Arab
Saya terlibat sebagai ahli dalam penyelidikan yang diketuai oleh Dr. Mohd Fauzi bin Abdul Hamid berkaitan pembangunan modul infografik dalam pembelajaran tatabahasa Arab. Modul yang ini dihasilkan bagi kursus pengajaran Kajian Teks Sintaksis Ibn Aqil. Modul ini dinamakan iGQA, iaitu Modul Infografik Qawaid Arabiyyah melibatkan infografik statik dan infografik beranimasi. Modul ini dilengkapi dengan aktiviti latihan interaktif yang boleh dicapai dengan imbasan QR. Modul ini menjadi rujukan berpusat yang menghimpunkan nota infografik statik, video beranimasi, aktiviti dan perbincangan secara interaktif. Modul iGQA ini telah mendapat pengiktirafan dalam pertandingan inovasi, pembentangan kertas kerja, penerbitan artikel dan bab dalam buku, penggunaan dalam modul micro credential dan lain-lain. Modul ini telah mendapat IP Hakcipta dan aplikasi modul juga dimanfaat oleh sekolah untuk pembangunan modul pembelajaran mereka.


Bersama Ahli Kumpulan Inovasi Modul Infografik Qawaid Arabiyyah (iGQA)
- EZ-Arabic : Sumber Pembelajaran Bahasa Arab Maya Peringkat Sekolah
Rendah
Penggunaan medium pembelajaran berteknologi menjadi elemen penting dalam PdP masa kini. Platform seperti KeLIP, Google Meet, Microsoft Teams, Google Forms, Quizizz, Padlet, serta video pembelajaran digital dimanfaatkan secara optimum untuk menyokong proses pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian.
Teknologi ini membantu memperluas akses kepada bahan pembelajaran, mempercepat komunikasi akademik, memudahkan pentaksiran formatif, serta meningkatkan fleksibiliti pembelajaran. Pelajar juga dapat belajar mengikut kadar kendiri (self-paced learning) yang lebih sesuai dengan keperluan masing-masing.
Pendekatan ini selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21 yang menuntut literasi digital, kemahiran teknologi, dan pembelajaran sepanjang hayat.
Saya memanfaatkan semaksima mungkin KeLIP yang merupakan platform rasmi epembelajaran di UniSZA. Banyak aktiviti epembelajaran dijalankan menerusi KeLIP bagi semua kursus pengajaran saya.

Platform KeLIP Bagi Kursus Kajian Bahasa Teks Al-Hadith Al-Nabawi (BAA43003)

Semua Nota Kursus Dimuatkan Dalam Platform KeLIP

Bahan Tambahan Daripada Sumber Berautoriti Dibekalkan Bagi Rujukan Pelajar

Aktiviti Forum Dalam KeLIP Mengumpul Maklum Balas Daripada Pelajar

Aktiviti Kuiz Dijalankan Dan Markah Dikira Sebagai Salah Satu Pengukuran Kursus
Pemanfaatan KeLIP Diiktiraf Sebagai "Mod-Blended" Bagi Semua KursusSijil Pencapaian Pelaksanaan Mod Pembelajaran Teradun Melalui Pemanfaatan KeLIP
Selain itu, pembelajaran Bahasa Arab juga memanfaatkan pendekatan menerusi segmen Al-Arabiyyah Fi Al-Radio siaran radio Terengganu.fm sebagai satu bentuk pendekatan berinovatif agar pelajar dapat menguasai Bahasa Arab dengan lebih baik. Elemen komunikatif diterapkan menerusi pendekatan ini, selain ruang akses yang bersifat terbuka dan mudah diulang tonton tanpa had masa. Ini kerana siaran rancangan dirakam dalam platform Facebook, satu kemudahan teknologi bagi pembelajaran masa kini.

Siaran Rancangan Al-Arabiyyah Fi Al-Radio Terbitan Radio Terengganu.fm Menerusi Platform Facebook
Pendekatan interaktif dalam PdP dilaksanakan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih aktif dan berpusatkan pelajar. Kaedah seperti perbincangan kumpulan, pembentangan pelajar, forum akademik, pembelajaran berasaskan masalah (problem-based learning), soal jawab terbuka, simulasi, video interaktif dan aktiviti kolaboratif digunakan secara konsisten dalam sesi kuliah dan tutorial.

Proses Pengajaran dan Pembelajaran Secara Interaktif Memberi Impak Positif Terhadap Keberkesanan PdP
Video Pembetangan Pelajar Bagi Kursus Kritikan Karya Sastera Arab (BAA43303)
Video Pembetangan Pelajar Bagi Kursus Kajian Bahasa Teks Al-Hadith Al-Nabawi (BAA43003)
Pendekatan ini membantu meningkatkan penglibatan pelajar secara langsung, menggalakkan keberanian berfikir dan berhujah, serta membina kemahiran komunikasi dan kepimpinan. Pelajar tidak hanya menerima ilmu secara pasif, tetapi turut berperanan sebagai peserta aktif dalam membina kefahaman dan penyelesaian terhadap isu yang dibincangkan.

Memenangi Medal Sempena Minggu Citra Akademik UniSZA 2023
Sebagai seorang pensyarah bidang Bahasa Arab, saya berusaha untuk memperkaya bahan pembelajaran Bahasa Arab yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar. Antaranya ialah usaha menerbitkan bahan pembelajaran tambahan yang dapat diakses oleh orang ramai berkaitan Bahasa Arab. Saya telah dilantik sebagai kolumnis sebuah majalah tersohor iaitu SOLUSI terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. untuk berkongsi tentang pembelajaran Bahasa Arab.

Ruangan "Kod Wahyu" Dalam Majalah SOLUSI Terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Ruangan "Kod Wahyu" Dalam Majalah SOLUSI Terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Secara keseluruhannya, inovasi dalam PdP ini menjadi sebahagian daripada komitmen berterusan saya dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pengalaman pembelajaran pelajar. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong kecemerlangan akademik, malah membantu melahirkan pelajar yang lebih kompeten, kreatif, kritis, dan bersedia menghadapi cabaran dunia semasa.

Kata Hikmah Buya HAMKA Tentang Ilmu Dan Pendidikan